KOTA KINABALU: Satu kes kematian Covid-19 dilaporkan pada hari ini iaitu di daerah Ranau.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun yang memaklumkan ini berkata, bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam kerana ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar.
Katanya, blangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 482 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 209,432 orang.
“Manakala 1,887 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 760 orang di hospital, 1,115 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan 12 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara.
“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 77 orang merangkumi 74 di ICU/repurposed kritikal care serta tiga di open ward (HDW/kubikel akut) dan 24 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
“Manakala bilangan pesakit stage empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 88 (41.31%),” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah dalam kenyataan medianya hari ini.
Sabah melaporkan sebanyak 554 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 220,775 kes.