Jahid dan rombongan mengabadikan gambar kenangan bersama wakil LIGS di luar pejabat LIGS Tuaran semasa lawatan tersebut.
TAMPARULI: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, bersama rombongan, mengadakan lawatan ke Pejabat Skim Penempatan Getah (SPG), Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), di Sungai Damit, sini kelmarin.
Kehadiran beliau disambut Timbalan Pengurus Besar (UKPK), Eswadi Roslan; Timbalan Pengurus Besar (Skim), Alexsius Modium; Penolong Pengurus Besar (Pemasaran), Chia Ching Lian; dan Pengurus Skim SPG Tuaran, Ahmadin Omar.
Jahid diberi taklimat ringkas mengenai SPG Tuaran, yang merangkumi objektif SPG, maklumat kakitangan skim dan bengkel, maklumat kenderaan skim dan bengkel, kemudahan keperluan asas, senarai projek yang dilaksanakan, status projek terkini, maklumat penoreh, jumlah hasil getah (dalam skim) tahun 2016 hingga 2020, perbandingan hasil getah tahun 2020 dan 2021, hasil bulanan tahun 2021 (dalam skim), serta isu dan masalah.

Jahid bersama rombongan mendengar taklimat oleh wakil LIGS.
Menurut Eswadi, pembukaan SPG di daerah ini telah berjaya mencapai objektifnya dan telah meningkatkan pendapatan dan taraf hidup penduduk kampung terutama mereka yang diambil sebagai penoreh dan mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan.
Jahid berpuas hati dengan hasil lawatan tersebut dan mengucapkan syabas dan tahniah atas usaha berterusan LIGS untuk meningkatkan taraf hidup penduduk khususnya di luar bandar.
“Kita berterima kasih atas sikap toleransi LIGS kepada para penduduk kampung yang melalui kawasan mereka dan juga kerjasama dari segi peluang pekerjaan, isu tanah, nasihat dan sebagainya.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri melalui kementerian ini, saya juga mengucapkan terima kasih juga atas kerjasama LIGS terutamanya dalam program Mini Estet Sejahtera (MESEJ) dan Kampung Sejahtera,” katanya.
Untuk rekod, SPG Tuaran yang terletak kira-kira 5.6 kilometer dari Pekan Kecil Tamparuli dan 12 kilometer dari Pekan Tuaran, merupakan antara lima buah Skim Penempatan Getah yang dibangunkan oleh LIGS pada tahun 1980.