KOTA KINABALU: Pemandu kereta sapu yang dijangkiti Covid-19 punca Kluster Tumbalang – Ranau yang merupakan kluster jenis komuniti yang dikesan di Ranau pada 23 Oktober.
Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pemandu tersebut, lelaki tempatan berusia 37 tahum merupakan kes indeks bagi kluster ini.
Katanya, kes indeks disahkan positif Covid-19 di Hospital Ranau selepas bergejala sejak 19 Oktober 2021 dengan keputusan positif grading 87%.
“Saringan kontak rapat yang dilakukan pada 25 Oktober sehingga 1 November mendapati seramai 54 orang daripada lokaliti yang sama dikesan positif RTK AG.
“Pada 3 November, terdapat tambahan sebanyak dua orang lagi penduduk daripada Kg. Tumbalang turut dikesan positif RT-PCR melalui saringan kontak rapat di Klinik Timbua, menjadikan keseluruhan kes adalah sebanyak 56 kes,” kata Masidi dalam kenyataan medianya hari ini.
Sementara itu, di KINABATANGAN, Kluster Sawit Jati – Kinabatangan merupakan kluster jenis komuniti.
“Kes indeks adalah lelaki warganegara Indonesia, 47, bekerja di sebuah ladang kelapa sawit (gatekeeper) di dalam Daerah Kinabatangan.
“Kes indeks yang mula bergejala sesak nafas dan demam sejak 20 Oktober 2021, disahkan positif RTK AG dengan grading 100% pada 21 Oktober 2021 oleh Klinik Swasta Mabello Paris, Kinabatangan dan telah dirujuk ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan lanjut,” jelas Masidi.
Katanya, aktiviti persampelan kontak seterusnya mendapati seramai 25 kontak sosial, pekerja dan tanggungan turut positif Covid-19.
Tambahnya, siasatan, persampelan Covid-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang berdekatan yang lain.