Jahid (tengah) bersama kepimpinan Pemuda, Wanita dan AMT yang hadir, bergambar bersama selepas mesyuarat GBBB di Ibu Pejabat PBS, kelmarin.
PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) menerusi Gabungan Belia Beliawanis Bersatu (GBBB) siap sedia mendekati golongan muda sebagai persediaan menghadapi Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15).
Timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim, berkata, selain usaha memperkasakan parti, PBS akan turut memberi fokus bagi mendekati golongan muda berumur 18 hingga 20 tahun.
Katanya, PBS giat melakukan tinjauan tentang kesediaan anak muda menjadi pengundi dan sejauh mana kesanggupan mereka menggalas tanggungjawab besar dalam menentukan hala tuju negara.
Jahid berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat GBBB di Ibu Pejabat PBS, di sini kelmarin.
“Mesyuarat hari ini bukan sahaja untuk membincangkan bagaimana cara anak-anak muda untuk mengenali PBS, tetapi juga agar perjuangan PBS ini masuk di hati mereka,” katanya.
Turut hadir Ketua Exco Pergerakan Pemuda PBS, Christopher Mandut; Ketua Exco Pergerakan Wanita PBS, Datin Malianah Ugau; dan beberapa kepimpinan dalam kalangan Exco Pemuda, Exco Wanita dan Ahli Majlis Tertinggi PBS.
Menurut beliau, GBBB akan menggembleng usaha bagi menarik minat golongan muda dengan mendekati mereka agar hati mereka lebih sebati dengan perjuangan PBS, iaitu parti yang memperjuangkan hak-hak Sabah sejak 1985, dan tidak pernah goyah sehingga kini.
“Inilah pendedahan yang akan kita terapkan kepada semua golongan muda, agar mereka tahu mengenai parti PBS,” ujarnya.
Katanya, pendekatan bagi menjangkau anak-anak muda ini bukan hanya terletak kepada tanggungjawab Pemuda dan Wanita semata-mata, tetapi ia merangkumi kewajipan seluruh kepimpinan.
“Kita berhadapan dengan perubahan besar dalam landskap pengundi terutamanya pengundi baharu dalam kalangan belia seawal umur 18 tahun, yang mana sebahagian besar daripada mereka ini tidak mempunyai parti dan tidak menyokong mana-mana parti. Justeru, langkah ini amat bertepatan bagi mengumpul lebih ramai penyokong dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Untuk rekod, GBBB dilancarkan pada 15 November 2019 oleh Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili dan mula digerakkan ke beberapa Bahagian dan Cawangan PBS.
Bagaimanapun, gerakan tersebut terhenti seketika disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pandemik Covid-19.