KOTA KINABALU: Sebanyak empat kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu masing-masing satu kes di Keningau, Nabawan, Kota Marudu dan Kota Kinabalu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun yang memaklumkan ini berkata, bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam kerana ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar.
Katanya, bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 436 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 208,572 orang.
“Manakala 1,848 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 736 orang di hospital, 1,094 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 17 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara manakala satu orang di fasiliti swasta.
“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 80 orang merangkumi 76 di ICU/repurposed kritikal care serta empat di open ward (HDW/kubikel akut) dan 24 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
“Manakala bilangan pesakit stage empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 88 (40.37%),” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah.
Sabah melaporkan sebanyak 675 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 219,566 kes.