Kesemua PATI yang baru tiba dari Indonesia ditahan ketika menyorok dalam sebuah rumah di Jalan Kuhara di Tawau semalam.-Ihsan ESSCOM
TAWAU: Hasrat 15 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) menikmati kehidupan lebih baik di Sabah tidak kesampaian apabila kesemua mereka ditahan sebaik sahaja tiba dari Indonesia, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam itu, kesemua 15 PATI warga Indonesia tersebut ditahan semasa sedang menyorok dalam sebuah rumah berhampiran Jalan Kuhara.
Menurut Utusan Malaysia, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, kesemua PATI itu ditahan menerusi serbuan Op Cegah Pati (OCP) Daratan.
Mereka terdiri daripada 10 lelaki dewasa, tiga wanita dan dua kanak-kanak berusia satu hingga 58 tahun. Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan. Kesemua PATI ditahan bersama barang-barang peribadi dan gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.
Katanya, serbuan berkenaan dilakukan dengan kerjasama Rejimen ke-2 Angkatan Tentera Malaysia, Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Tawau dan anggota Polis Tugas Am.
“Kesemua 15 PATI dan seorang lelaki warga tempatan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.
“Kejayaan tangkapan itu adalah hasil usaha dan kerjasama erat agensi keselamatan dan masyarakat setempat dalam menggagalkan taktik PATI menggunakan lorong tikus untuk masuk negara ini secara haram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Fuad berkata, pihaknya dengan kerjasama semua agensi keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) akan terus komited dalam menjalankan tugasan mengawal keselamatan sempadan negara bagi mengekang kemasukkan PATI ke Sabah dan sekaligus memutuskan rantaian wabak Covid-19 melalui Op Cegah PATI secara berterusan.