KOTA MARUDU: lbu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu menafikan dakwaan seorang wanita dirogol seperti dalam satu kenyataan yang mula dimuatnaik dan ditularkan di media sosial melalui aplikasi Facebook dan WhatsApp sejak petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak ketika dihubungi memaklumkan, IPD Kota Marudu tidak ada menerima sebarang laporan berhubung kejadian rogol di kawasan yang dimaksudkan seperti dalam kenyataan tersebut.

Zairolnizal Ishak
Dalam pada itu, satu kenyataan penafian berkenaan kejadian rogol ini juga telah dimuatnaik oleh IPD Kota Marudu agar masyarakat awam lebih peka dan tidak sewenang-wenangnya mempercayai kenyataan palsu.
Beliau berkata, IPD Kota Marudu tidak ada menerima sebarang laporan kejadian rogol seperti yang didakwa dalam kenyataan tersebut.

Beliau berharap orang ramai berhenti menyebarkan kenyataan ini dan tidak membuat spekulasi kerana ia akan menimbulkan kegusaran awam.
Mereka yang mempunyai maklumat penyebaran kenyataan ini diminta untuk tampil membuat laporan polis.
Sejak petang kelmarin, tular satu kenyataan mendakwa seorang wanita berumur 18 tahun dirogol di hadapan sebuah pasaraya oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan memandu kenderaan Proton Saga berwarna hitam.