Daging angsa hitam dikatakan mempunyai lebih banyak protein berbanding daging lain
PYONGYANG: Korea Utara meletakkan angsa hitam dalam senarai sumber makanan sebagai usaha mengatasi masalah kekurangan makanan yang kronik di negara itu.
Lapor Utusan Malaysia, Angsa hitam dibiakkan di pusat pembiakan baharu di sebuah ladang itik terbesar di pantai timur negara itu.
Sebuah ladang angsa dibina di Ladang Itik Kwangpho di Jongphyong dan upacara rasmi pembukaan diadakan.
Negara itu sedang bergelut dengan krisis makanan dan ekonomi yang lemah dan angsa hitam yang ‘sedap’ adalah jawapannya kerana mereka mendakwa ia adalah ‘makanan kesihatan luar biasa’.
Agensi Berita Korean Central (KCNA) melaporkan, ‘daging angsa hitam adalah sedap dan mempunyai nilai perubatan’, manakala, pembiakan industri haiwan itu akan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Penyelidikan terhadap pembiakan angsa hitam bermula pada Musim Bunga 2019 dan imej satelit menunjukkan projek pembinaan baharu sedang dijalankan di ladang itik Kwangpho.
Seorang penyelidik dari Kementerian Pertanian Negara memberitahu KCNA, daging angsa hitam mempunyai lebih banyak protein berbanding daging lain dan lebih mudah dihadam serta mempunyai ciri-ciri antikanser.
Langkah itu susulan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un memberi amaran kepada rakyatnya makan dalam kuantiti yang sedikit sehingga negara itu membuka semula pintu sempadan dengan China, 2025.

Kim Jong Un
Korea Utara menutup pintu sempadan dengan China, Januari tahun lalu sebagai langkah berjaga-jaga terhadap penularan Covid-19.
Namun, langkah itu memberi kesan serius kepada ekonomi negara dengan harga barangan harian meningkat mendadak apabila permintaan mengatasi bekalan sedia ada.
https://utusan.news/luar-negara/2021/10/korea-utara-pilih-angsa-hitam-atasi-krisis-makanan/