OBCJ yang dilaksanakan bermula seawal 1 pagi sehingga 4 pagi, kelmarin.
KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu (IPD KK) komited untuk terus mengadakan Operasi Bersepadu Cegah Jenayah (OBCJ) bagi memastikan keselamatan dan keamanan di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata demikian dalam satu kenyataan media setelah OBCJ Siri 02/2021 IPD KK dilaksanakan pada jam 1 pagi hingga jam 4 pagi kelmarin.

Terus komited melaksanakan tugas.
Katanya, operasi kali ini menyaksikan seramai 77 orang dan 63 kenderaan telah diperiksa dan hasil pemeriksaan berjaya menahan seorang lelaki di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 sementara satu saman dikeluarkan atas kesalahan Tiada Lesen Memandu dan Tiada Perlindungan Insuran.
Tambahnya, seramai 67 anggota polis bersama anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) dibahagikan kepada lima pasukan iaitu Pasukan Ops Payung, Rondaan Berjalan Kaki, Ronda Bermotosikal/ URB, Ronda MPV dan Pasukan ‘Task Force’.

Pemeriksaan kenderaan di Kingfisher Plaza, Kota Kinabalu.
Enam kawasan terlibat dalam OBCJ kali ini antaranya Kepayan Ridge, Tanjung Aru, Kampung Likas, Kingfisher, Inanam dan Pekan Telipok, Manggatal.
ACP Zaidi menegaskan, objektif OBCJ bukan sahaja dalam isu pencegahan jenayah tetapi turut meningkatkan lagi kepercayaan masyarakat terhadap pihak polis yang sentiasa berusaha memastikan keselamatan dan keamanan di daerah ini sekaligus menangani isu pengedaran dan penagihan dadah.