Bung diiringi oleh Limus, Jasmin dan Edward memutar kepala paip sebagai simbol perasmian bengkel tersebut
KOTA KINABALU: Penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negeri merupakan salah satu perkara yang akan dimasukkan dalam Huju Tuju Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pengwujudan suruhanjaya ini merupakan penyelesaian jangka panjang untuk menangani masalah air di Sabah.
Katanya, suruhanjaya ini akan mengawasi perkhidmatan air dan pembetungan di negeri ini.
“Kita yakin penubuhan suruhanjaya air ini akan mengurangkan birokarasi dan meningkatkan kecekapan negeri mengurus masalah air yang sekian lama berlaku di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Bengkel Hala Tuju JANS yang diadakan di Shangri-La’s Tanjung Aru Resort & Spa sini kemarin.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyarankan agar Sabah membuat satu enakmen yang berfungsi seperti Akta Industri Perkhidmatan Air dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, seperti mana yang digunakan di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan, semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau di Dewan Rakyat pada kelmarin.
Menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya, pengwujudan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negeri akan mengubah imej perkhidmatan air di negeri ini.
“Pindaan terhadap Enakmen Air Negeri Sabah mesti dibuat di Dewan Undangan Negeri terlebih dahulu sebelum ini dapat dilakukan,” katanya
Sehubungan dengan itu, Bung berkata, bengkel tersebut merupakan forum yang paling sesuai bagi membincangkan secara terperinci pilihan yang ada dengan mengambilkira kebaikan dan keburukan setiap pilihan yang ada.
Beliau berkata, JANS memerlukan sekitar RM13 bilion bagi mengganti dan menaiktaraf sistem bekalan air seperti rangkaian paip lama dan menaiktaraf loji-loji rawatan air yang bermasalah, untuk menangani isu-isu bekalan air di Sabah.
“JANS adalah satu-satunya utiliti air di Malaysia yang masih berstatus jabatan dan menguruskan bekalan airnya sendiri tanpa bantuan secara langsung dari Kerajaan Persekutuan, dan kita berharap melalui suruhanjaya air yang bakal diwujudkan oleh Kerajaan Negeri nanti bantuan secara langsung dapat diperolehi dari Kerajaan Pusat untuk menampung kos perbelanjaan yang tinggi untuk meningkatkan sistem bekalan air di Sabah,” jelas Bung.
Beliau berharap Bengkel Hala Tuju JANS yang diadakan selama tiga hari itu akan dapat mencari formula terbaik bagi menyelesaikan isu-isu bekalan air di Sabah dan seterusnya mengemukakan cadangan yang akan diangkat untuk perhatian Kerajaan Negeri.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury; Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya, Datuk Mohd Jasmin Juplin; dan Pengarah JANS, Ir. Edward Linkapo