KOTA KINABALU: Sebanyak lapan kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu empat kes di daerah Kota Belud, dua kes di Tawau dan masing-masing satu kes di Kota Marudu serta Kudat.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun yang memaklumkan ini berkata, bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam ini kerana ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar.
Katanya, bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 568 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 203,833 orang.
Manakala 1,876 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 742 orang di hospital, 1,105 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 28 orang di Pusat Tahanan Sementara(PTS) / Penjara manakala satu orang di fasiliti swasta, tambahnya.
“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 85 orang merangkumi 80 di ICU/repurposed kritikal care serta lima (5) di open ward (HDW/kubikel akut) dan 23 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
“Manakala bilangan pesakit stage empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 125 (46.82%),” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah dalam kenyataan medianya hari ini.
Sabah melaporkan sebanyak 450 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 214,514 kes.