Kerajaan Negeri menerima sumbangan tanggungjawab korporat sosial (CSR) PETRONAS berjumlah RM708,460 bagi tujuan pelaksanaan tiga Program Komuniti dan Alam Sekitar di negeri ini.
Sumbangan ini juga akan terus memanfaatkan masyarakat terlibat yang turut memainkan peranan signifikan terutama dalam usaha memastikan alam sekitar sentiasa terjaga dan terlindung.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor memaklumkan, beliau berbesar hati dengan sumbangan berkenaan dan optimis, ketiga-tiga program yang dirancang ini secara tidak langsung akan memperkasakan fasiliti dan modal insan di kawasan terlibat.
Program-program ini adalah pembinaan menara pemantau dan jeti di Kampung Pantai Emas, Kota Belud bagi tujuan aktiviti pelancongan serta perikanan di daerah itu dengan peruntukkan sejumlah RM500,000, RM108,460 bagi pelaksanaan Program Latihan Sukarelawan ‘Community Emergency Response Team’ (CERT) yang merupakan inisiatif CSR PETRONAS dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat serta RM100,000 bagi sumbangan dana penganjuran ‘Sabah International Climate Change Conference 2021’ anjuran Jabatan Perlindungan Alam Sekitar.
Bagi program CERT, dijangkakan 200 pemimpin akar umbi dan anggota masyarakat dari beberapa daerah iaitu CVR Tuaran, Papar, Beaufort dan Sipitang akan melibatkan diri dalam program ini mulai akhir bulan.
Kesemua program ini antara inisiatif CSR yang dipersetujui untuk dilaksanakan oleh Jawatankuasa Kerja Bersama PETRONAS-Sabah.
Datuk Hajiji turut menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Ketua Hal Ehwal Kerajaan dan Kawal Selia PETRONAS, Anuar Ismail kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.
Hadir sama dalam majlis ini ialah Ketua PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab.