KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan 651 kes baharu Covid-19 harii ini, naik 225 kes berbanding kelmarin (426).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pada hari ini 22 daerah di Sabah mengalami peningkatan, 5 daerah lagi mengalami penurunan dan hanya 1 daerah iaitu Pitas merekodkan penurunan ketara iaitu sebanyak 15 kes.
Katanya, semua bandar utama juga merekodkan peningkatan kes kecuali Penampang.
“Walau bagaimanapun, tidak ada daerah yang mencatatkan kes pada paras 3 angka dan hanya 2 daerah yang mencatatkan kes harian melebihi paras 50 kes,” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah.
Menurutnya, faktor yang mempengaruhi peningkatan kes pada hari ini adalah disebabkan terdapat banyaknya daerah yang mencatatkan peningkatan ketara seperti Beaufort (+38 kes), Kudat (+35), Lahad Datu (+22), Tawau (+20), Papar (+16), Kota Belud (+15), Keningau (+13), Beluran (+13) dan Sipitang (+10).
“Terdapat 2 kluster baharu direkodkan hari ini yang tercetus di daerah Beaufort. Kluster Kampung Bawan adalah kluster yang berpunca dari tempat kerja dan setakat ini telah menjangkiti 34 orang, manakala Kluster Kampung Batu 66 yang merupakan kluster komuniti setakat ini telah menjangkiti 29 orang. Walau bagaimanapun, kluster-kluster ini tidak mempengaruhi peningkatan kes yang direkodkan hari ini,” jelasnya.
Sejumlah 228 kes atau 35.02% adalah merupakan kes daripada saringan bergejala yang sinonim kepada kes-kes sporadik.
“Sungguhpun kes yang dilaporkan pada hari ini adalah tinggi berbanding semalam, hanya 400 kes atau 61.44% adalah kes yang berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu. Kes-kes yang selebihnya adalah kes-kes yang didaftar lewat dua hari atau lebih lama setelah keputusan saringan diketahui.
“Sebanyak 94.93% daripada kes yang direkodkan hari ini hanya dalam kategori satu dan dua, yang lazimnya hanya memerlukan rawatan dan penilaian di rumah atau PKRC. Terdapat 4 kes dalam kategori tiga, 8 kes dalam kategori empat dan 3 kes dalam kategori lima. Sejumlah 18 kes lagi masih dalam penilaian JKNS.
“Masyarakat digesa agar terus mematuhi SOP yang telah digariskan bagi membendung penularan virus Covid-19,” katanya.
Jumlah kes mengikut daerah:
Kota Belud 60 (45)
Beaufort 52(14)
Kota Kinabalu 47 (43)
Kudat 45 (10)
Tenom 43 (34)
Keningau 40 (27)
Kota Marudu 38 (34)
Lahad Datu 33 (11)
Ranau 33 (36)
Papar 30 (14)
Sipitang 30 (20)
Tuaran 27 (22)
Tawau 25 (5)
Sandakan 23 (14)
Beluran 22 (9)
Tambunan 18 (16)
Penampang 15 (17)
Putatan 14 (10)
Kunak 9 (3)
Kuala Penyu 8 (0)
Kinabatangan 8 (7)
Nabawan 8 (5)
Tongod 8 (0)
Pitas 7 (22)
Semporna 6 (3)
Telupid 2 (4)
Kalabakan 0 (1)
(Angka dalam kurungan adalah jumlah kes kelmarin – 20/10)
Kluster Baharu
1.Kluster Kampung Bawan,
Beaufort (Tempat Kerja)
2. Kluster Kampung
Batu 66, Beaufort
(Komuniti )