KOTA KINABALU: Tujuh kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu lima kes di Sandakan manakala Kota Kinabalu dan Tawau masing-masing mencatatkan satu kes kematian.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun yang memaklumkan ini berkata, bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam ini kerana ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar.
Katanya, bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 1,016 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 198,463 orang.
“Manakala 2,180 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 854 orang di hospital, 1,318 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, tujuh orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara manakala satu orang di fasiliti swasta.
“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 106 orang merangkumi 99 di ICU/repurposed kritikal care serta tujuh (7) di open ward (HDW/kubikel akut) dan 37 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
“Manakala bilangan pesakit stage empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 161 (51.94%),” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah dalam kenyataan medianya hari ini.
Sabah merekodkan sebanyak 504 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 210,060 kes.