KOTA KINABALU: Sabah layak beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa 18 Oktober ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun mengumumkan ini dalam ciapan di Twitternya hari ini.
Sementara itu, Sabah mencatatkan 720 kes baharu Covid-19 hari ini, naik 29 kes berbanding kelmarin (691).
“Seperti yang diramal, kes harian akan melalui trend ‘yo-yo’ dalam masa terdekat. Setelah turun 60 kes kelmarin, hari ini kes keseluruhan Sabah naik 29 kes,” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah.
Katanya, walaupun kes kumulatif Negeri Sabah naik hari ini, namun jumlah daerah yang mencatatkan penurunan kes adalah lebih banyak berbanding daerah yang mencatatkan peningkatan kes.
“Jumlah daerah yang mencatatkan peningkatan ialah 11 daerah dan yang merekodkan penurunan sebanyak 16 daerah.
“Seluruh bandar-bandar utama juga mencatatkan penurunan kes kecuali Putatan dan Kudat, yang masing-masing merekodkan peningkatan sebanyak 29 kes dan 28 kes berbanding semalam.
“Sungguhpun demikian, hanya 4 daerah yang mencatatkan penurunan pada julat 2 angka iaitu Ranau (-41 kes), Pitas (-41), Kota Kinabalu (-11) dan Kunak (-10).
“Daerah yang mencatatkan peningkatan kes yang agak ketara ialah Kinabatangan (+40), Keningau (+23), Tenom (+13) dan Beaufort (+10).
“Walaupun agak sukar untuk meramalkan trend perubahan kes bagi daerah-daerah di Sabah dalam masa terdekat, namun, trend kumulatif jangkitan dalam tempoh 14 hari menampakkan trend pelandaian,” kata Masidi.
Pada hari ini, kes baharu yang berpunca daripada saringan bergejala adalah sebanyak 253 kes (35.14%) daripada angka keseluruhan.
“Ini satu petanda bahawa tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dikalangan penduduk belum begitu memuaskan,” kata beliau.
Daripada 720 kes yang didaftarkan hari ini, katanya, 470 kes (65.28%) merupakan kes-kes yang didaftarkan dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Daripada 720 kes hari ini, 96.25% adalah dalam kategori satu dan dua, manakala hanya 1 kes kategori tiga, 4 kes kategori empat dan 2 kes kategori lima. 20 kes lagi masih dalam penilaian.
Jumlah kes mengikut daerah:
Kota Kinabalu 68 (79)
Kudat 62 (34)
Keningau 58 (35)
Kinabatangan 57 (17)
Tenom 50 (37)
Kota Belud 50 (51)
Kota Marudu 44(53)
Tuaran 42 (39)
Putatan 34 (5)
Lahad Datu 31 (33)
Ranau 31 (72)
Tawau 24 (25)
Papar 22 (24)
Beluran 18 (20)
Sandakan 18 (19)
Penampang 17 (25)
Telupid 16 (12)
Beaufort 15 (5)
Tambunan 14 (12)
Sipitang 11 (4)
Pitas 11 (52)
Nabawan 10 (3)
Tongod 8 (11)
Semporna 4 (7)
Kunak 3 (13)
Kuala Penyu 1 (2)
Kalabakan 1 (2)
(Angka dalam kurungan adalah jumlah kes kelmarin – 14/10)
Kluster Baharu
Tiada