BEAUFORT: Seorang wanita hampir diserang dengan sebilah parang dalam satu kejadian amuk gara-gara menegur adik ipar lelakinya yang berada dalam keadaan mabuk di Kampung Menumpang, Kuala Penyu, dekat sini semalam.
Suspek yang berusia 34 tahun ini telah ditegur mangsa, 33, apabila suspek melanggar mangsa dari belakang ketika berada di dapur rumah.
Dalam keadaan marah, suspek bertindak memukul kepala mangsa yang juga kakak iparnya dengan menggunakan sudu namun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kemudian suspek cuba menyerang semula mangsa, namun berjaya dihalang oleh ibu dan bapa serta adik suspek yang turut berada di rumah ketika itu.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan (DSP) Yusoff Zaki Mat Yaacob menyatakan kronologi kes berkenaan ketika dihubungi.
Katanya, dalam kejadian sekitar pukul 8 malam itu, suspek yang kemudiannya keluar daripada rumah dalam keadaan marah telah masuk semula ke dalam rumah sambil memegang sebilah parang panjang dan cuba untuk menyerang semula mangsa.
Adik suspek kemudiannya menghalang dan memeluk suspek dari belakang sementara ibu dan bapa suspek merampas parang berkenaan.
Mangsa bersama seorang anaknya berjaya menyelamatkan diri dengan bersembunyi di rumah jiran mereka dan telah membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Penyu pada pukul 10.22 malam.
Yusoff Zaki dalam kenyataannya turut memberitahu, punca kejadian adalah mabuk dan suspek dikatakan sering mencetuskan masalah ketika mabuk.
Suspek telah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.