Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Bilangan jemaah yang dibenarkan hadir ke masjid/surau untuk Solat Jumaat dan Solat Fardhu Berjemaah di Sabah adalah 50%, mengikut kapasiti masjid dan surau dengan penjarakan satu meter.
Individu yang telah lengkap divaksin adalah diutamakan, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun dalam kenyataan medianya hari ini.
Selain itu, katanya, aktiviti masjid dan surau juga dibenarkan seperti kuliah maghrib, kuliah dhuha, kelas agama dan seumpamanya, mengikut bilangan kapasiti yang dibenarkan.
Mesyuarat Agung Jawatankuasa masjid dan surau termasuk dalam kebenaran ini, tambahnya.
Bagi Majlis Akad Nikah pula, katanya, ia dibenarkan diadakan di dewan atau ruang khas masjid mengikut kapasiti dewan dan ruang khas tersebut.
Pengurusan jenazah dan ziarah kubur dibenarkan mengikut bilangan tidak lebih 30 orang, kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah.
Katanya, ini merupakan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas SOP Covid-19 Bagi Hal Ehwal Islam berkait aktiviti masjid dan surau di Sabah, dan telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (Covid-19).
“Umat Islam dinasihatkan agar mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan phak Berkuasa Negeri dari masa ke semasa bagi memutuskan penularan wabak Covid-19,” kata beliau.