KOTA KINABALU: Sebanyak 15 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu tiga kes di Lahad Datu, dua kes di Kota Kinabalu dan Kota Marudu manakala Beaufort, Keningau, Kota Belud, Nabawan, Penampang, Sandakan, Tenom dan Tuaran masing-masing mencatatkan satu kes kematian.
Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun yang memaklumkan ini berkata bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam ini kerana ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar.
Katanya, bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 656 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 195,674 orang.
“Manakala 2,389 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 945 orang di hospital, 1,436 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, lima orang di Pusat Tahanan Sementara(PTS) / Penjara manakala tiga orang di fasiliti swasta.
“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 121 orang merangkumi 108 di ICU/repurposed kritikal care serta 13 di open ward (HDW/kubikel akut) dan 41 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
“Manakala bilangan pesakit stage empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 170 (51.05%),” kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu dalam kenyataan medianya hari ini.
Sabah melaporkan sebanyak 691 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 208,197 kes.