Bincang… Bung berbincang bersama pemimpin masyarakat tempatan, disertai oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Lamag, Abu Bakar Gapar.
BUKIT GARAM :Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan pemimpin masyarakat di negeri ini supaya kerap turun padang untuk menerangkan program dan dasar yang dilaksanakan kerajaan.
Beliau berkata, ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19, rakyat khususnya di kawasan luar bandar juga berhadapan dengan pelbagai masalah terutamanya dari aspek kebajikan mereka.
Menurut Bung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, pemimpin masyarakat terutamanya ketua kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), pemaju mukim dan lain-lain perlu cakna kepada isu semasa dan segera menyalurkan maklumat kepada pemimpin atasan agar tindakan segera bagi membantu mereka yang terkesan oleh pandemik Covid-19 dapat dibantu.

Bagus… Bung menunjukkan isyarat baik ketika memasuki pejabat baharu beliau sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan dan ADUN Lamag di Pekan Baru, Kinabatangan.
Selain itu, tambah Bung, pendekatan itu bukan sahaja menjelaskan kesungguhan Kerajaan dalam membela nasib rakyat, tetapi juga boleh menangkis tuduhan yang dilemparkan pembangkang terhadap Kerajaan.
“Pembangkang sekarang keluar masuk kampung beritahu rakyat di akar umbi agar kepimpinan kerajaan harus diubah, walhal kita sekarang hidup dalam keadaan baik dan harmoni.
“Kita kena jaga negeri kita dengan baik. Jangan kita tersalah dengar cakap (pembangkang) sehingga kita akhirnya sedar keadaan sekarang ini lebih baik (berbanding di bawah kepimpinan pembangkang),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Pejabat ADUN dan Parlimen yang baharu di Pekan Baru, Bukit Garam baru-baru ini. Beliau juga mengadakan perjumpaan bersama pemimpin-pemimpin masyarakat di kawasan tersebut.
Bung berkata, pemimpin masyarakat juga perlu bijak menyampaikan program dan dasar kerajaan agar rakyat tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.
Katanya, Kerajaan sentiasa berusaha menjaga amanah rakyat dengan menyediakan pelbagai peluang agar kehidupan rakyat lebih sejahtera.
“Tugas dan tanggunjawab kita sebagai pemimpin masyarakat peringkat akar umbi bukan sekadar duduk di pejabat tapi perlu turun ke lapangan bagi mendapatkan maklumat yang tepat tentang apa juga isu rakyat baik dari segi kebajikan dan pembangunan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut berterima kasih kepada pemimpin masyarakat dan penjawat awam negeri serta Persekutuan, khususnya di kawasan itu, kerana memudahkan kerjanya sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.
“Kita bekerja sebagai satu pasukan untuk membangunkan kawasan ini dengan menyediakan prasarana dan meningkatkan ekonomi rakyat,” jelas Bung.