KOTA KINABALU: Seramai 468 artis dan pelajar dengan 514 karya menyertai Majlis Anugerah dan Pameran Karya Pilihan Tahunan Negeri Sabah (KPTNS) Ke-36, 2021 sempena Hari Jadi Rasmi ke-68 Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, penyertaan daripada Bahagian Pantai Barat Utara merupakan yang tertinggi dengan 192 karya,.
Sebanyak 77 karya terpilih peringkat bahagian manakala karya yang terpilih peringkat negeri akan dipamer dan diraikan pada Majlis Anugerah dan Pameran KPTNS ke-36 yang akan disempurnakan oleh penaung program ini iaitu Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 16 Oktober 2021 secara maya.

Antara karya-karya yang dipamerkan
Saksikan pameran ini melalui pautan: di mana sahaja dan pada bila-bila masa.
KPTNS dikendalikan pada setiap tahun bersempena dengan perayaan Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Aktiviti ini yang telah dimulakan sejak tahun 1985 dalam bentuk pertandingan seni lukis biasa dan telah menjalani proses evolusi yang menggalakkan daripada segi konsep, skop, pendekatan dan sistem pelaksanaannya hinggalah membawa ke bentuknya pada hari ini.
Namun pada tahun ini, impak pandemik Covid-19 telah menyebabkan penganjuran program ini tidak dilakukan secara fizikal dan dilaksanakan secara maya yang dilihat dapat memberikan ruang baharu kepada para artis untuk kembali aktif di dalam industri ini.
Oleh itu, BSLS, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah telah menaiktaraf perkhidmatan melalui pembangunan aplikasi lawatan secara virtual sebagai salah satu inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
KPTNS juga merupakan aktiviti pengembangan seni visual tahunan anjuran BSLS di bawah naungan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri.
KPTNS yang diadakan setiap tahun bertujuan untuk menggalakkan penglibatan para artis tempatan dan pelajar sekolah serta mempunyai impikasi yang besar dalam meningkatkan kualiti dan kuantiti karya seni visual di negeri ini.

Pemilihan karya merangkumi 6 peringkat bahagian iaitu Bahagian Pantai Barat Selatan, Bahagian Sandakan, Bahagian Tawau, Bahagian Barat Utara, Bahagian Pendalaman Atas dan Bahagian Pendalaman Bawah. Penyertaan dibahagikan kepada 3 kategori iaitu Kategori A (Sekolah Rendah), Kategori B (Sekolah Menengah) dan Kategori C (Terbuka).
Tahun ini, KPTNS Ke-36, 2021 telah menetapkan dua tema penyertaan iaitu Gunung Kinabalu dan Sabah – Norma Baharu.
Pameran secara virtual khas untuk KPTNS ini merupakan salah satu inovasi BSLS dalam mempelbagaikan kaedah pameran dan
pendigitalan.
Untuk maklumat lanjut berkenaan karya seni di pameran ini, sila hubungi 088-268 748 atau email: enquiries@sabahartgallery.com