KOTA KINABALU: Sebanyak enam kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu dua kes di Putatan dan Tenom manakala Kota Kinabalu dan Keningau masing-masing mencatatkan satu kes kematian.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun yang memaklumkan ini berkata, bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam ini kerana ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar.
Katanya, bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 1,623 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 193,445 orang.
“Manakala 2,402 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 982 orang di hospital, 1,411 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, lima orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara manakala empat (4) orang di fasiliti swasta.
“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 134 orang merangkumi 112 di ICU/repurposed kritikal care serta 22 di open ward (HDW/kubikel akut) dan 42 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
“Manakala bilangan pesakit stage empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 195 (54.62%),” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah dalam kenyataan media hari ini.
Sabah merekodkan sebanyak 532 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 206,048 kes.