KOTA KINABALU: Sebanyak tujuh kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu dua kes di Papar dan Keningau manakala Kinabatangan, Semporna dan Sandakan masing- masing mencatatkan satu kes kematian.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun yang memaklumkan ini berkata, bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam ini kerana ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar.
“Bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 700 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 191,822 orang.
“Manakala 2,488 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,002 orang di hospital, 1,473 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, sembilan orang di Pusat Tahanan Sementara(PTS) / Penjara manakala empat orang di fasiliti swasta.
“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 114 orang merangkumi 107 di ICU/repurposed kritikal care serta tujuh (7) di open ward (HDW/kubikel akut) dan 47 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
“Manakala bilangan pesakit stage empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 193 (55.14%),” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah dalam kenyataan media hari ini.
Sabah melaporkan sebanyak 562 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 205,516 kes.