PETALING JAYA: Syarikat penerbangan nasional Malaysia, Malaysia Airlines Berhad (MAS), dengan kerjasama 15below menyediakan penyelesaian inovatif terbaharu yang bertujuan untuk menyediakan pemberitahuan terkini dan konsisten sepanjang perjalanan pelanggan, termasuk perubahan penerbangan serta pembatalan.
Menerusi penyelesaian tersebut, MAS akan memastikan standard tertinggi dalam perhubungan dengan pelanggan, terutamanya jika berlaku gangguan penerbangan.ADVERTISING
Menurut Utusan Malaysia, selaras dengan harapan pelanggan yang menginginkan perjalanan yang lancar, bersih dan selamat, MAS akan menggunakan peralatan automasi canggih yang mampu menawarkan perkhidmatan pelanggan yang lebih baik, hasil kerjasama dengan penyedia komunikasi penumpang automatik terkemuka dalam industri pelancongan, 15below.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan Malaysia Airlines, Lau Yin May berkata, fungsi utama itu akan memastikan pelanggan mengawal rancangan perjalanan mereka sendiri kerana mereka akan dibekalkan dengan maklumat perjalanan terkini, boleh dipercayai, melibatkan pengesahan jadual perjalanan, perubahan jadual, dan pembatalan penerbangan apabila berlakunya gangguan.
Menurut beliau, Fasa 2 dan Fasa 3 projek terbabit dijangka siap pada suku ketiga 2022 dan MAS percaya penggunaan peralatan automasi itu adalah tepat pada masanya memandangkan mereka sedang bersiap sedia untuk pembukaan semula perjalanan.
“Kami telah menyaksikan kejayaan penggunaannya semasa pembukaan semula gelembung perjalanan Langkawi baru-baru ini.
“Ia terbukti berkesan untuk memastikan pelanggan kami sentiasa menerima maklumat tentang perubahan terkini dalam mematuhi garis panduan semasa melakukan perjalanan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan.