PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan Persekutuan diselaras sesuai dengan keperluan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dibentang akhir bulan ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia bakal dibaca buat kali pertamanya pada 26 Oktober ini.
“Ini diikuti dengan bacaan kali kedua RUU tersebut yang akan dibentang di Parlimen pada 28 Oktober pula,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.
Sebelum dibaca, kementerian beliau akan mengadakan sesi libat urus untuk menerangkan pindaan itu kepada pelbagai pihak terutamanya Ahli-ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak.
Pada masa sama, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam proses mengemas kini RUU tersebut selain ada sesi perbincangan dengan pihak perundangan dari dua negeri tersebut.
Setakat ini ujar Wan Junaidi, inisiatif yang giat dilaksanakan kementerian itu menerima sokongan penuh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Nor dan para pemimpin negeri berkenaan.
“Pertemuan juga akan diadakan dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Dr. Abang Johari Tun Openg bagi membincangkan isu tersebut dalam masa terdekat,” jelas beliau.
Berdasarkan maklum balas diterima, beliau menyasarkan akan ada mesyuarat khas yang dipengerusikan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 21 Oktober ini.
Rentetan daripada pertemuan tersebut, satu kertas khas mengenai MA63 dijangka dapat dibentangkan oleh Perdana Menteri kepada anggota jemaah Kabinet pada keesokan hari pula.
Malahan, sekiranya mengikut jadual waktu kementerian itu, AGC dijadualkan menerbitkan draf RUU perkara tersebut untuk dapat diagihkan kepada semua Ahli Parlimen pada 25 Oktober.
“Kita berharap, menerusi pindaan berkenaan, beberapa perkara kritikal yang dipertikaikan sejak sekian lama melibatkan pelbagai isu dalam MA63 dapat diselesaikan,” kata Wan Junaidi.
Beliau dalam nada yakin berharap, RUU itu akan mampu merungkai banyak kemelut yang dianggap samar di samping dapat memperjelaskan lagi kedudukan pribumi Sabah dan Sarawak.
MA63 dirangka pada 15 November 1961 lalu sebelum dimeterai pada 31 Julai 1963 yang melibatkan kerajaan Britain, Tanah Melayu, Borneo Utara (kini Sabah), Sarawak dan Singapura.
Dokumen dalam bahasa Inggeris dan Melayu itu turut disimpan oleh pemegangnya, kerajaan Britain dan Pertubuhan Bangsa Bersatu selaras dengan laporan bebas Suruhanjaya Cobbold.