KUALA LUMPUR: Lebih banyak tumpuan diberikan terhadap inisiatif gelembung pelancongan tempatan selepas negara mencapai kadar vaksinasi 90 peratus bagi populasi dewasa tidak lama lagi.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerajaan juga giat mempersiapkan, merangka dan meneroka segala peluang bagi pembukaan gelembung pelancongan di peringkat antarabangsa.
Ketika ini, kata Nancy, kementeriannya sudah melakukan kerja awalan dengan melibatkan sesi libat urus secara dalam talian bersama 33 Pengarah Tourism Malaysia di luar negara bagi mendapatkan maklumat lanjut dan sentimen pasaran pelancongan masing-masing.

Nancy Shukri
“Semua usaha yang kita laksanakan ini adalah untuk membangunkan gelembung pelancongan antarabangsa yang boleh menarik semula kehadiran pelancong asing.
“Pada masa yang sama, kerajaan berusaha meminimumkan apa jua risiko bagi mengimbangi faktor ekonomi dengan kesejahteraan rakyat,” katanya di Dewan Rakyat petang ini.
Ahli Parlimen Batang Sadong daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata demikian semasa sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi kementeriannya.
Semakan Utusan Malaysia menerusi laman sesawang Covidnow menyatakan, sebanyak 88.4 peratus individu berusia 18 tahun ke atas sudah divaksinasi manakala 94.5 peratus sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Sementara itu, mengulas berkenaan Tahun Melawat Malaysia (TMM) sama ada akan diadakan semula selepas dibatalkan ekoran penularan pandemik Covid-19, katanya, penganjuran kempen berskala besar memerlukan persediaan yang rapi, tempoh masa yang panjang selain memerlukan dana yang besar bagi membolehkan proses pra promosi dilakukan bagi menarik pasaran antarabangsa.
“Bagaimanapun, TMM bukan satu-satunya jalan untuk mempromosi dan menarik kehadiran pelancong dan kerajaan ketika ini sedang menumpukan usaha pemulihan industri pelancongan melalui pelaksanaan Pelan Pemulihan Pelancongan dan Kebudayaan yang dibangunkan kementerian.
“Justeru, keputusan melaksanakan TMM pada masa akan datang sudah pasti akan mempertimbang pelbagai faktor seperti pemulihan sektor pelancongan di peringkat global dan masa yang tepat dan bersesuaian,” katanya.