KOTA KINABALU: Sebanyak 14 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu empat kes di Sandakan, dua kes di Kudat manakala Kota Kinabalu, Nabawan, Putatan, Ranau, Sipitang, Tawau, Tenom dan Tuaran masing-masing mencatatkan satu kes kematian.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun yang memaklumkan ini berkata, bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam ini kerana ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar.
Katanya, bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 1,472 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 188,294 orang.
“Manakala 2,627 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,081 orang di hospital, 1,528 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 14 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara manakala empat orang di fasiliti swasta.
“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 146 orang merangkumi 127 di ICU/repurposed kritikal care serta 19 di open ward (HDW/kubikel akut) dan 50 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
“Manakala bilangan pesakit stage empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 242 (58.74%),” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah dalam kenyataan media hari ini.
Sabah merekodkan sebanyak 790 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 202,668 kes.