KOTA KINABALU: Sebanyak 14 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu tiga kes di Tawau, dua kes di Lahad Datu dan Kota Kinabalu manakala masing-masing satu kes di Kudat, Tuaran, Kota Marudu, Penampang, Semporna, Ranau dan Sandakan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun yang memaklumkan ini berkata, bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam ini kerana ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar.
Katanya, bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 1,096 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 183,694 orang.
“Manakala 2,790 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,078 orang di hospital, 1,689 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 16 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara manakala tujuh orang di fasiliti swasta.
“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 132 orang merangkumi 119 di ICU/repurposed kritikal care serta 13 di open ward (HDW/kubikel akut) dan 50 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
“Bilangan pesakit stage empat dan lima masih belum lengkap vaksin ialah 286 (63.41%),” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah dalam kenyataan media hari ini.
Sabah mencatatkan sebanyak 767 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 200,396 kes.