KOTA KINABALU: Sabah FC perlu terus mencari cara untuk menemui kembali rentak kemenangan apabila berdepan Kelantan FC dalam aksi Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV bermula jam 4.45 petang ini.
Pasukan itu sekadar seri 1-1 selepas meloloskan gol penyamaan lewat permainan dalam aksi terdahulu ketika bertemu PJ City FC pada Isnin lepas.
Ia juga adalah kali ke-11 pasukan itu gagal memperolehi kemenangan dalam semua kejohanan sejak awal Julai lalu.
Ketua jurulatih baharu, Datuk Ong Kim Swee memberi amaran agar tidak memandangkan rendah pasukan tuan rumah meskipun mereka cuma menghuni tangga keenam dalam Liga Premier yang baru menutup tirainya.
“Mereka hanya tewas 0-2 kepada JDT dalam aksi pembukaan dan ia menunjukkan bahawa mereka mempunyai kekuatan individu dan beraksi di sebelah petang juga mungkin memberikan impak kepada para pemain kita.
“Pemain perlu memastikan mereka tidak tercicir mata menentang Kelantan. Ini penting untuk memastikan yang kita masih mempunyai peluang untuk mara ke pusingan seterusnya kerana jika kita tidak mencapainya, maka kita akan berdepan tugas yang sangat sukar kerana kita akan melawan JDT dalam perlawanan akan datang,” katanya.
Beliau menambah, mereka memperbaiki kelemahan pasukan sejak beberapa hari selepas aksi PJ City.
“Pasukan bermain agak baik menentang PJ City khususnya pada 45 minit pertama tetapi terdapat beberapa kelemahan pada babak kedua yang mana kita telah cuba perbaiki sejak dua hari lepas.”
Bekas jurulatih kebangsaan itu turut berkata para pemain mampu memahami taktik yang beliau mahu mereka terapkan, walaupun beliau hanya ada seminggu bersama pasukan sebelum aksi pada Isnin lepas.
Beliau menggesa pemain agar kekal fokus sehingga akhir permainan agar tidak mengulangi kesilapan melepaskan gol lewat seperti mereka lakukan ketika bertemu PJ City.
Sementara itu, pemain import dari Indonesia Saddil Ramdani mungkin tidak diturunkan petang ini selepas mengalami kecederaan pada aksi dengan PJ City di mana dia hanya bermula dari bangku pemain simpanan. – DE