John Ambrose.
PENAMPANG: Keutamaan akan diberikan kepada projek tebatan banjir untuk menyelesaikan sepenuhnya banjir kilat dan tanah runtuh di daerah ini.
“Semasa mesyuarat kami baru-baru ini bersama pihak berwajib, kami bersetuju untuk memberi keutamaan kepada projek tebatan banjir,” kata Senator Datuk John Ambrose.
“Penduduk sudah lama menderita setiap kali berlakunya hujan lebat berterusan,” kata Ambroses, yang baru-baru ini ditugaskan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk meneliti masalah itu.
Beliau dibantu oleh Pegawai Daerah Francis Chong untuk memantau kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan yang dijalankan oleh SESB dan Jabatan Air, antara lainnya.
Ambrose berkata, bantuan kewangan persekutuan yang dijanjikan akan mempercepatkan pembinaan semula infrastruktur rosak, menambah baik aliran sungai, membaiki parit tersumbat dan sistem pengairan selain memberi bantuan peribadi dan isi rumah.
“Tindakan pantas Hajiji untuk memberikan bantuan RM1,000 kepada 937 mangsa, khususnya penduduk Kg Sugud yang terjejas teruk, adalah tanda prihatin beliau.
“Ini adalah banjir kilat paling teruk dalam 50 tahun di Penampang di mana kira-kira 13 tanah runtuh direkodkan, 10 rumah musnah sepenuhnya dan puluhan kenderaan rosak,” kata Ketua Bersatu Penampang itu.
Kira-kira 28 kampung terjejas, dengan Kg Sugud paling terjejas.
Bantuan daripada jabatan serta agensi kerajaan, NGO, GLC, sektor perniagaan, kumpulan dan seluruh lapisan masyarakat terus diterima dan membantu dalam pembersihan.
Beliau juga memuji SESB dan Jabatan Air kerana berusaha sedaya upaya mereka untuk menyediakan bekalan kuasa dan air di kawasan terjejas secepat mungkin. – DE