SANDAKAN: Kadar kes jenayah di negeri ini memperlihatkan trend menurun sepanjang tempoh penularan pandemik Covid-19.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah, berkata, antara faktor penyumbang kepada kadar itu termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun, jelasnya, terdapat sedikit peningkatan dalam kes curi dan jenayah komersial termasuk penipuan urusniaga dalam talian yang dilaporkan ketika pandemik ini.
Manakala, kes bunuh diri di negeri ini menyaksikan peningkatan sebanyak 63 kes sehingga Jun tahun ini.
Beliau berkata demikian dalam sesi perbincangan town hall ‘Melestarikan Pembudayaan Norma Baharu Di Era Pandemik Covid-19’ di Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, anjuran Kontinjen Polis Sabah.
Program itu juga disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi Polis Daerah Sandakan pada Sabtu.
Selain Idris, ahli panel lain program itu adalah Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Promosi Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Abdul Razak Md Noh, Timbalan Presiden 1 Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Faridah Giau dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Sandakan, Dr Dalmansah Tahil dan moderatornya yang juga penyampai Sandakanfm, Dj Nurkisa Madkassim.
Hadir sama, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Sabah, Tan Sri Andrew Liew Sui Fatt dan Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Mohd Azhar Hamin.
Idris berkata, pembudayaan norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika pandemik ini juga memerlukan kerjasama semua pihak agar usaha melawan pandemik ini terus berhasil.
Sementara itu, Faridah dan Abdul Razak berkata, bagi pihak jabatan masing-masing, mereka juga melakukan langkah terbaik dalam menangani pandemik ini.
Faridah berkata, bagi MPS, ia bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk memastikan kebajikan penduduk terus terjaga selain pematuhan SOP dan agihan bantuan bakul makanan daripada kerajaan kepada golongan sasar berjalan lancar.
Sementara itu, Dalmansa berkata, berdasarkan data Jabatan Pendidikan Negeri, kira-kira 96.69 peratus atau 41,097 guru daripada 42,505 keseluruhan di negeri ini sudah melengkapkan dos vaksin mereka.
Selebihnya belum divaksin kerana mengalami masalah peribadi termasuk menghidap penyakit kronik dan mengandung.
Bagi Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP), seramai 6,794 atau 96.14 peratus daripada 7,067 golongan itu telah menerima vaksin.
Bagi daerah Sandakan, 97.05 peratus daripada 3,576 guru telah divaksinasi.
Sementara sebanyak 95.06 peratus dari 786 AKP di Sandakan telah menerima vaksin.
Bagi petugas sokongan melibatkan pengawal keselamatan, pembersihan dan pekerja kantin dengan 90.26 peratus telah divaksin.
Jelasnya, ini juga sebagai persediaan pembukaan semula sesi persekolahan, khususnya bagi guru dan pelajar Tingkatan 6 semester dua di daerah ini dan yang mengambil peperiksaan.
Katanya, sesi libat urus bersama guru dan ibu bapa juga dilaksanakan sebagai persiapan anak-anak kembali ke sekolah.
Secara keseluruhan, katanya, peratusan warga sekolah lengkap vaksin ini menunjukkan sambutan amat baik terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Sandakan. – DE