Khairy Jamaluddin
JEMPOL: Selepas Lembah Klang, sistem vaksinasi secara walk-in akan diperluaskan ke semua negeri dalam masa terdekat.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, semua negeri akan turut memberikan kemudahan tersebut namun keutamaan pemberian vaksin adalah kepada warga emas.
“Berkenaan walk-in, banyak juga bergantung kepada kedudukan bekalan vaksin, cuma di kebanyakan negeri kita akan umumkan walk-in untuk warga emas.
“Saya rasa hampir semua negeri akan memberikan kemudahan walk-in bagi warga emas dalam masa terdekat, ia akan diumumkan esok,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak, Kampung Orang Asli Batu Peti, dekat sini hari ini.
Yang hadir sama, Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif.
Sementara itu, mengulas pertanyaan ramai pihak berkenaan kelonggaran yang akan diberikan kepada penerima lengkap dua dos vaksin Covid-19, Khairy memaklumkan perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya difahamkan Perdana Menteri akan buat pengumuman dalam masa terdekat, kita sedang perhalusi draf tersebut dan insya-Allah akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Dalam pada itu jelas Khairy, setakat hari ini 59 peratus daripada penduduk dewasa Malaysia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 29 peratus telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19.
“Di Negeri Sembilan, 72 peratus dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos manakala 35 peratus populasi dewasa Negeri Sembilan telah lengkap menerima dua dos,” katanya.