Abang Johari Tun Openg
KUCHING: Pelanjutan tempoh darurat selama enam bulan di Sarawak seperti diumum pada Sabtu adalah selaras dengan pendirian kerajaan negeri untuk mengutamakan keselamatan serta kebajikan rakyat negeri ini, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata dengan Proklamasi Darurat mulai 2 Ogos ini sehingga 2 Feb tahun depan, pilihan raya negeri (PRN) boleh ditangguhkan sehingga ke satu tarikh apabila keadaan pandemik Covid-19 tidak lagi mendatangkan mudarat kepada rakyat Sarawak.
“Kami menjunjung kasih terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan memberikan sokongan penuh ke atas Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat bagi Negeri Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri di sini pada Sabtu.
Abang Johari berkata mengikut ordinan berkenaan, darurat yang akan tamat pada 2 Feb 2022 boleh ditamatkan lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah mempertimbangkan pandangan daripada Kerajaan Sarawak.
“Dengan adanya peruntukan ini, maka akan terjamin bahawa mandat daripada rakyat akan diperoleh dengan segera sebaik sahaja keadaan pandemik ini dapat dikawal dan mengizinkan. Yang penting ia hanya akan berlaku berdasarkan data saintifik dan nasihat profesional, kerana keselamatan dan kesihatan rakyat Sarawak tidak akan dikompromi sebelum PRN diadakan.
“Kami menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas kebijaksanaan baginda di dalam memastikan pilihan raya negeri boleh diadakan cuma apabila keadaan pandemik di negeri ini sudah dapat dikawal dan tidak menjejaskan keselamatan rakyat negeri ini,” katanya.
Namun, Abang Johari berkata bagi memastikan amalan demokrasi berparlimen dijaga, mandat daripada rakyat Sarawak perlu didapatkan semula sebaik sahaja keadaan pandemik mengizinkan.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat (Sarawak) di seluruh negeri ini mulai 2 Ogos ini sehingga 2 Feb tahun depan, sekali gus menggantung PRN daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.
Dalam satu warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 30 Julai, Seri Paduka bertitah perisytiharan itu berikutan wabak Covid-19 yang sedang berlaku telah mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam. – Bernama