Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Satu daripada dua kluster hari ini iaitu Kluster Tembidong Bidong – Telupid, Beluran merupakan penularan jangkitan dalam komuniti yang disyaki berpunca daripada aktiviti kunjung-mengunjung dalam kalangan jiran tetangga semasa sambutan Aidiladha.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes indeks adalah wanita, 55, disahkan positif Covid-19 melalui PCR Genexpert di Hospital Duchess of Kent, Sandakan pada 19 Julai 2021, selepas dirujuk oleh Klinik Kesihatan Nangoh kerana bergejala batuk dan sesak nafas sejak 17 Julai 2021.
Turut dikesan positif ialah suami kes indeks menerusi ujian RTK-Ag pada hari yang sama, diikuti 18 kes hasil saringan (PCR) kontak rapat pada 21 Julai 2021.
“Setakat hari ini, daripada 292 individu yang disaring, kluster ini merekodkan 88 kes positif Covid-19 merangkumi 78 kes termasuk 31 kes baharu di Telupid dan 10 kes termasuk empat (4) kes baharu di Beluran. Siasatan dan kawalan masih lagi diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah berkata kluster kedua pula iaitu Kluster Jalan Patikang Ulu – Keningau dikategorikan sebagai kluster tempat kerja.
“Kes indeks merupakan lelaki, 19, kerani di sebuah syarikat bengkel dan servis jentera berat.
“Pada 29 Julai 2021, kes indeks yang menjalani saringan bergejala di klinik swasta didapati positif Covid-19 dengan keputusan RTK-Antigen,” jelasnya.
Katanya, pada hari yang sama, klinik yang sama menerima satu lagi RTK-Antigen positif yang merupakan kontak rapat kepada kes indeks.
Saringan kontak rapat di lapangan yang dilakukan oleh pasukan Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau serta klinik swasta kemudiannya mengesan 12 RTK-Antigen positif pada 30 Julai 2021.
“Setakat hari ini, kluster ini menokok tiga kes baharu menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 17 kes melibatkan Mukim Patikang dan Lingkudau di daerah Keningau.
“Penambahan bilangan kes disyaki berpunca daripada pergaulan di antara penghuni rumah sewa yang padat di Jalan Patikang Ulu,” katanya.
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 1,002 kes, untuk tiga hari berturut-turut di paras atas 1,000, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 85,723 kes.
Tujuh kes kematian turut dilaporkan pada hari ini iaitu dua kes di Penampang manakala Beluran, Papar, Semporna, Kinabatangan dan Kota Kinabalu masing-masing satu kes.