Fairuz (berdiri, dua dari kanan) berbual dengan penduduk yang hadir untuk menerima suntikan vaksin di SK Dudar hari ini
KOTA BELUD: Usaha sedang dijalankan oleh pasukan Skuad N8 DUN Pintasan dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk di DUN ini menerima suntikan vaksinasi Covid-19 sebelum Oktober ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan berkata, DUN Pintasan mempunyai banyak kampung yang memang terletak di kawasan pedalaman, menyukarkan pergerakan bagi penduduk di situ selain pelbagai kekangan lain seperti tidak memiliki telefon pintar dan MySejahtera untuk mendaftar bagi menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Kita nekad untuk membawa seramai mungkin penduduk kita untuk diberikan vaksin di kawasan-kawasan mereka, kerana saya mahu semua rakyat di DUN ini menerima dos suntikan lengkap sebelum Oktober,” katanya.
Fairuz berkata demikian semasa hadir dalam Program Outreach Vaksinasi Covid-19 bagi DUN Pintasan di Sekolah Kebangsaan Dudar, hari ini.
Menurut Fairuz, lokasi itu dipilih kerana ia terletak di tengah-tengah beberapa kampung yang terlibat.
“Kita sasarkan hari ini untuk dapat memberikan vaksin kepada 1,200 penduduk yang kita telah ambil maklumat mereka, yang terdiri daripada warga emas dan ada juga golongan muda.
“Lokasi ini agak jauh dari Pekan Kota Belud, dan kita turut menyediakan pengangkutan dan servis penghantaran serta mengambil penduduk kampung untuk mereka hadir ke lokasi ini, sekaligus mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19,” katanya.
Dalam pada itu, Fairuz yang juga merupakan Ketua Armada BERSATU Negeri Sabah turut memberitahu bahawa pihaknya telah menerima lebih daripada 5,000 pendaftaran untuk vaksinasi CovId-19 bagi seluruh kawasan DUN Pintasan.
“Daripada ini, kita sudah selesai memberikan suntikan vaksin kepada lebih 4,000 penerima, termasuklah yang menerima vaksinasi pada program hari ini.
“Semoga usaha ini dapat dijayakan seiring dengan sasaran kita untuk mencapai imuniti kelompok serta melenyapkan risiko penyebaran dan penularan pandemik Covid-19 dalam masyarakat kita,”jelasnya.
Beliau berkata tidak ada apa yang perlu dibimbangkan untuk menerima vaksin kerana vaksin yang diberikan adalah terjamin selamat dari segi kandungan bahan-bahannya dan halal di sisi syarak.
“Kepada yang belum mendaftar untuk menerima vaksinasi Covid-19, daftarlah kerana vaksin kita selamat, jangan takut dan jangan risau, insya-Allah.
“Usah terpengaruh dengan penyebar maklumat tidak sahih tentang vaksin yang mana mereka sendiri adalah golongan anti vaksin yang tidak bertanggungjawab kerana menimbulkan panik serta kebimbangan yang tidak wajar dalam komuniti kita,” tambah Fairuz.