PETALING JAYA : Polis sedang mengenal pasti individu yang terlibat dalam penganjuran protes #lawan di Dataran Merdeka hari ini.
Memberitahu Utusan Online, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, tindakan susulan akan diambil polis dan siasatan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Kata beliau, hasil pemantauan polis mendapati kesemua peserta protes berkenaan memakai pelitup muka namun dari segi penjarakan fizikal agak sukar dikawal.
“Justeru, kita akan ambil tindakan susulan mengenai perkara itu.
“Ingin ditegaskan tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) masih berkuat kuasa dan tiada siapa yang boleh melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” tegasnya.
Terdahulu, anggaran seramai 400 sehingga 450 orang dipercayai berhimpun dalam protes #lawan yang diadakan di Dataran Merdeka hari ini.
Kesemua mereka berkumpul sejak 10 pagi tadi di hadapan stesen LRT Masjid Jamek, dengan berpakaian serba hitam.
Sebaik sahaja pukul 11 pagi, mereka mula berarak ke arah Dataran Merdeka.
Pelbagai perkataan yang dilaungkan seperti ‘Hidup Rakyat’, ‘Bangkit Anak Muda dan ‘Kerajaan Gagal’, dengan kebanyakannya mengecam kerajaan.
Polis sudah pun menutup kesemua jalan menghala ke Dataran Merdeka dan menyebabkan mereka berhimpun di kawasan sekitar lokasi berkenaan.