KOTA KINABALU: Kluster Gambaron Dua – Telupid adalah kluster komuniti yang dipercayai menjangkiti dalam kalangan jemaah masjid seterusnya merebak kepada ahli keluarga.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes indeks merupakan lelaki, 29, yang bergejala sejak 22 Julai 2021 sebelum disahkan positif (RTK-Ag grading 100%) di Klinik Kesihatan pada 23 Julai 2021.
“Berdasarkan siasatan, kes indeks mendapat jangkitan daripada seorang rakannya iaitu lelaki, dari Tawau yang disyaki menjadi kontak kes positif di Ladang FGV Tanah Mas, Telupid.
“Sepanjang tiga hari bermula 15 Julai 2021 di Kg Gambaron 2, kes indeks bersama rakannya itu menunaikan solat di Masjid Pekan Telupid.
“Setakat hari ini, 95 individu telah disaring dan 53 daripadanya dikesan positif Covid-19 termasuk 41 kes baharu. Aktiviti siasatan dan kawalan masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sementara itu, kluster kedua hari ini dipanggil Kluster Jalan Corak – Tongod yang menokok satu kes baharu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 12 kes.
Masidi berkata , kes indeks bagi kluster kategori komuniti ini mula dikesan apabila suri rumah, 30, yang bergejala demam, batuk dan selesma disahkan postif Covid-19 di Pejabat Kesihatan Daerah Tongod pada 26 Julai 2021.
“Siasatan awal mendapati, kes indeks bersama 14 rakannya mula mengalami gejala serupa sejak menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Telupid pada 24 Julai 2021 dan di antara mereka masih menuggu keputusan ujian RT-PCR.
“Saringan kontak juga mendapati sembilan lagi kes positif Covid-19 di sekitar kediaman kes indeks,” jelasnya.
Setakat hari ini, katanya, aktiviti saringan, persampelan Covid-19 dan disinfeksi masih diteruskan oleh pasukan siasatan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada penduduk kampung yang berdekatan.
Sembilan kematian disebabkan oleh Covid-19 juga direkodkan hari ini sementara Sabah turut mencatatkan 1,035 kes baharu.
Tiga daripada kes kematian tersebut dilaporkan di Tawau, sementara dua kes di Kota Kinabalu dan masing-masing satu kes di Kota Belud, Kudat, Putatan dan Tuaran.
Masidi berkata, Kota Kinabalu hari ini mencatat bilangan tertinggi iaitu 212 kes, diikuti oleh Tawau dengan 139 kes.
Daerah-daerah lain yang merekodkan kes melebihi 30 kes ialah Sipitang 33 kes, Kinabatangan (33), Beluran (35), Papar (42), Beaufort (45), Keningau (49), Sandakan (52), Penampang (67), Kota Marudu (70), Telupid (71) dan Tuaran (72).
“Saringan kontak rapat terus menyumbang peratusan tertinggi iaitu 48.02% atau 497 kes daripada jumlah kes keseluruhan pada hari ini,” katanya.
Katanya, saringan kluster menyumbang kepada 18.45% atau 191 kes, sementara saringan bergejala menyumbang kes kedua tertinggi hari ini iaitu 251 kes atau 24.02% daripada kumulatif harian.
Menurutnya, ia satu petanda jelas bahawa virus Covid-19 sudah pun berada dalam komuniti dan jangkitan berlaku secara sporadik (tidak tahu siapa yang menjangkiti atau bagaimana boleh terjangkit).
Tambahnya, sejumlah 115 kes hari ini merupakan OKT/Tahanan Kesalahan Imigresen, empat kes banduan daripada Penjara Kota Kinabalu dan 111 kes daripada Depot Tahanan Imigresen Tawau (dimasukkan dalam kategori saringan bergejala).
Masidi menjelaskan Kerajaan Negeri melalui agensi-agensi penguatkuasaan akan meningkatkan pemantauan bagi memasti pematuhan semua SOP sambil meningkatkan keupayaan memberi vaksinasi kepada semua penduduk pada kadar yang lebih cepat.