KOTA KINABALU: Seorang bapa yang dijangkiti Covid-19 menjadi punca kepada kluster yang tercetus di kedai roti tempat anaknya bekerja di Tawau.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Batu Dua – Tawau itu melibatkan perebakan jangkitan Covid-19 di tempat kerja iaitu kedai roti.
“Kes indeks merupakan lelaki, 58, dari Batu 2 Lorong Habib Abdul Rahman dan tidak bekerja telah disahkan positif hasil saringan bergejala di hospital swasta pada 17 Julai 2021.
“Saringan kontak rapat mendapati tiga rakan serumah positif, salah satu daripadanya adalah anak kepada kes indeks yang bekerja di kedai roti terbabit.
“Saringan tempat kerja pula mengesan lapan pekerja positif Covid-19. Siasatan lanjut untuk pengesanan kontak sedang giat dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan, katanya.
Tambahnya, setakat hari ini, daripada 66 kontak yang telah disaring, kluster ini merekodkan 27 kes positif termasuk 10 kes baharu.
“Manakala tiga sampel didapati negatif dan 36 sampel lagi masih menunggu keputusan,” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah dalam kenyataan media hari ini.
Sementara itu kluster kedua yang dilaporkan hari ini dipanggil Kluster Gunsapau – Ranau, Kota Marudu dikategorikan sebagai kluster komuniti.
Masidi menjelaskan penularan jangkitan Covid-19 kluster ini melibatkan kontak sosial di Kg Tagibang dalam daerah Kota Marudu.
“Kes indeks merupakan wanita, 24, disahkan posiitf Covid-19 (RTK-Ag) pada 21 Julai 2021, diikuti empat kontak positif RTK-Ag pada 22 Julai 2021 melalui saringan bergejala.
“Turut dikesan positif, kontak serumah kes indeks di Kg. Pugi Gunsapau, Kg. Nawanon dan Kg. Tagibang di Kota Marudu pada 24 dan 27 Julai 2021.,” katanya.
Dalam tempoh itu, 164 sampel telah disaring dan mengesan 64 kes positif termasuk enam kes baharu manakala 100 sampel lagi didapati negatif.
Sabah hari ini mencatatkan sebanyak 1,066 kes, yang tertinggi bagi tahun ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 83,686 kes.
Masidi berkata enam kes kematian juga dilaporkan pada hari ini iaitu tiga kes di Beaufort manakala Sandakan, Kudat, dan Penampang masing-masing mencatatkan satu kes.
Menurutnya, saringan kontak rapat masih lagi merupakan penyumbang paling tinggi iaitu sebanyak 640 kes atau 60.04% daripada kumulatif kes Covid-19 hari ini di mana daerah Kota Kinabalu mencatatkan jumlah saringan kontak rapat paling tinggi iaitu 125 kes.
Saringan bergejala pula mencatatkan sejumlah 157 kes atau 14.73% daripada kumulatif harian negeri ini, sementara saringan kluster merekodkan 157 kes atau 14.73% dan saringan bersasar sebanyak 51 kes atau 4.78%.
“Sejumlah 77.86% daripada kes-kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2. Kategori 1, iaitu (345) kes adalah mereka yang tidak mengalami sebarang simptom dan Kategori 2 iaitu sebanyak (485) kes sekadar mengalami simptom ringan (mild). Kedua kategori pesakit ini tidak perlu dimasukkan di hospital untuk rawatan, sekadar ditempatkan di PKRC,” katanya.
Katanya, seluruh daerah di negeri ini mencatatkan perubahan angka kes positif Covid-19 yang terus meningkat dan dengan jumlah catatan sebanyak 640 kes daripada saringan kontak rapat, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak Kerajaan.