Robert (dua dari kanan)menerima cenderakenangan daripada Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Keningau Masly Wahip.
KENINGAU:Peranan mereka yang bergelar guru wajar untuk sentiasa dihargai oleh setiap lapisan masyarakat.
Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, beliau secara peribadi sangat menghargai setiap mereka yang bergelar guru kerana merekalah yang telah memain peranan penting mendidik dan membina generasi baharu yang cemerlang.
Mereka terus melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak mulia, tambahnya.
Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bingkor berkata demikian semasa menyempurnakan sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Keningau Tahun 2021 secara dalam talian kelmarin.
Sambutan Hari Guru pada tahun ini bertemakan ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’.
Robert berkata, peranan guru pada masa negara menghadapi pandemik Covid-19 semakin mencabar kerana mereka menyediakan modul pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian (online).
“Namun mereka tetap cekal dan melaksanakan peranan sebagai pendidik demi memastikan anak didik mereka dapat mengikuti pembelajaran dan pengajaran melalui atas talian,” katanya.
Robert turut mengucapkan tahniah kepada guru-guru yang menerima anugerah-anugerah kecemerlangan pada sambutan Hari Guru 2021 peringkat Daerah Keningau.
Katanya, kecemerlangan yang dicapai perlu diteruskan demi memartabatkan pembangunan pendidikan khususnya di daerah ini.