Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Tiga kluster diisytiharkan hari ini, semuanya di Tawau termasuk Kluster Batu Keramat – Tawau yang dikategorikan sebagai kluster komuniti tercetus ekoran sambutan Aidiladha.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes indeks adalah lelaki, 77, disahkan positif Covid-19 hasil saringan bergejala di Hospital Tawau pada 24 Julai 2021.
Katanya, saringan kontak rapat kemudiannya mengesan lima lagi kes positif dalam kalangan ahli keluarga.
“Kes hasil saringan pengiring yang disahkan positif pada 26 Julai 2021 di Hospital Tawau mempunyai kaitan epidemiologi (epid link) dengan kes indeks. Siasatan awal mendapati kes indeks dan keluarga telah berkumpul di Kg Tg Batu Keramat pada 20 Julai 2021 bagi menyambut perayaan aidiladha.
“Aktiviti pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan. Setakat hari ini, seramai 25 kontak telah disaring dan 18 daripadanya didapati positif termasuk 10 kes baharu, manakala dua sampel lagi negatif dan lima sampel masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sementara itu, Kluster Lahat-Lahat – Tawau dipercayai menular dalam komuniti berikutan kenduri tahlil pada 19 Julai 2021 di Kg Lahat-Lahat, melibatkan individu yang baru kembali daripada Selangor.
Masidi berkata, kes indeks adalah lelaki, 31, pembantu kedai makan di Selangor dan pulang ke Tawau pada 13 Julai 2021.
“Kes indeks yang dikuarantin di rumah di Kg Lahat-Lahat, Pulau Sebatik disahkan positif pada sampel hari ke-10 kemasukan dari luar Negeri Sabah melalui saringan Pintu Masuk Antarabangsa (Lapangan Terbang Tawau) dengan keputusan RT- PCR positif (CT value 24) di Klinik Kesihatan Tawau.
“Setakat hari ini, 50 kontak telah disaring dan mengesan 20 kes positif termasuk satu kes baharu.
“Sementara itu, dua kontak didapati negatif manakala 28 lagi masih menunggu keputusan sampel kedua. Aktiviti pengesanan kontak masih dijalankan kerana kehadiran tetamu tidak direkodkan, malah jiran yang disaring mempunyai gejala dan berkait dengan kenduri tersebut,” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah.
Kluster Unipark – Tawau pula mula dikesan melalui saringan bergejala terhadap wanita, 39, di sebuah hospital swasta pada 19 Julai 2021.
Masidi menjelaskan kes indeks yang juga Pengurus Cawangan Globinaco di Taman Unipark ini disahkan positif COVID-19 dengan keputusan RTK-Ag grading 100%.
“Saringan yang dijalankan ke atas 54 kontak mengesan 18 kes positif termasuk satu kes baharu hari ini. Manakala, lima kontak didapati negatif dan 31 lagi masih menunggu keputusan sampel kedua,” katanya.
Selain itu, Masidi berkata lapan kes kematian dilaporkan pada hari ini disebabkan Covid-19 iaitu empat kes di Kota Kinabalu manakala Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Beaufort masing-masing mencatatkan satu kes.
Katanya, jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 776 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 82,620 kes.
“Kontak rapat terus menyumbang kes positif baharu yang terbanyak, iaitu 439 kes atau 56.57%, saringan bergejala sebanyak 153 kes atau 19.72% dan saringan kluster 74 kes atau 9.54%.
Menurutnya, seluruh daerah di Negeri Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif Covid-19 yang terus meningkat dan dengan jumlah catatan sebanyak 439 kes daripada saringan kontak rapat.
Oleh itu katanya, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak Kerajaan.
“Setakat hari ini, 31 suntikan baharu dibuat bagi Fasa 1 Dos 1 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 67,164 orang.
“Bagi Fasa 1 Dos 2 pula, tiada suntikan baharu dibuat pada hari ini menjadikan jumlah
kumulatif kekal sebanyak 58,575 orang,” katanya.
Manakala katanya, bagi Fasa 2 Dos 1 PICK, 31,087 suntikan baharu dibuat menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 686,370 orang.
Jelasnya, bagi Dos 2 Fasa 2 pula, 1,487 suntikan baharu harian dibuat menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 327,417 orang.
“Pendaftaran penerima vaksin pada hari ini ialah 18,813 menjadikan jumlah kumulatif yang
mendaftar sebanyak 1,136,623 (Mysejahtera 1,051,521: Laman Web 84,843: Talian Vaksinasi 259) bersamaan 41.2.%,” katanya.