Majus ( dua dari kiri) menyerahkan Modul Bahasa Inggeris 3 Aras SPM 2021 kepada Patricia Sinion (dua kanan), wakil PPSMS.
RANAU: Tujuh buah sekolah di sini dijadikan fokus di bawah Program Transformasi Daerah (DTP).
Sekolah tersebut adalah SMK Ulu Sugut, SMK Timbua, SMK Matupang Jaya, SMK Kemburongoh, SMK Kundasang, SMK Mohamad Ali dan SMK Ranau.
Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Ranau, Majus Munsing menyatakan ini semasa merasmikan majlis penyerahan Modul Bahasa Inggeris 3 Aras SPM 2021 kepada Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Ranau Sabah (PPSMS) yang diwakili oleh Pengetua SMK Bundu Tuhan, Patricia Sinion diadakan di Bangunan Sektor Pembelajaran PPD Ranau pada Isnin.
Turut diadakan penyampaian sijil penghargaan dan cenderahati kepada guru-guru yang terlibat membina modul tersebut.

Majus (depan, tiga dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama penerima sijil penghargaan dan cenderahati kepada guru-guru yang terlibat membina modul.
Majius berkata penyerahan Modul BI 3 Aras kepada wakil PPSMS menandakan pelancaran penyerahan modul kepada semua pengetua sekolah menengah di daerah Ranau secara rasmi.
Selain itu katanya, ia juga memberi maklumat tentang kewujudan jawatankuasa program sokongan bagi pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR), memenuhi keperluan pelajar dalam aktiviti PdPR dan membantu guru melaksana pengajaran menggunakan modul semasa sesi PdPR.
Tiga orang pegawai SISC+ sebagai pembimbing daripada bidang Bahasa PPD Ranau dan lapan orang guru daripada tujuh buah sekolah yang menjadi fokus di bawah program DTP.