“Marilah kawan-kawan semua, minumlah asal hati gembira, jangan saja kita marah-marah, aramaiti pun jadi gelisah”
Demikian antara bait lirik yang terdapat di dalam lagu bertajuk ‘Aramaikah’ ciptaan Baha Tungau yang menjadi siulan ramai sekitar tahun 2005-2007.
Kira-kira 15 tahun yang lalu, lagu ‘Aramaikah’ pernah menjadi fenomena dalam kalangan anak muda, di mana pada ketika itu telefon bimbit masih zaman bluetooth lagi.
Antara lagu yang seumur dengan lagu ‘Aramaikah’ adalah seperti ‘Molisau Negara Aramai Tih’, ‘Buduh Punya Kambing’ dan ‘Kanapa Gia Kau Ni’.
Beberapa minggu lepas, seorang artis tempatan Sabah kelahiran Tuaran, Zeno Bravo, telah memuat naik videonya menyanyikan lagu tersebut sambil bermain gitar.
Tanpa disangka, video itu menjadi viral, sehingga mendapat lebih 75,300 tontonan dan turut dimuat naik ramai pengguna Tik Tok lain.
Apabila lagu ini kembali meniti di bibir peminat seni hiburan tempatan Sabah, pencipta asalnya, Baha Tungau mengambil keputusan untuk merakam semula lagu ini dan diberi nafas baharu.
Sebagai penghargaan, Zeno Bravo diberi kepercayaan oleh Baha Tungau atau Ateng untuk menyanyikan semula lagu berkenaan, yang akhirnya siap Ahad lepas.
Peminat boleh menikmati lagu ini menerusi pautan ini: https://youtu.be/I5JbUVtYjVw
Lagu & Lirik: Baha Tungau
Vocals: Zeno Bravo
Music, Mixing & Mastering: Tuni Micro Studio (Herris Yutui)
Recording Studio: TJC Talent Studio
Video: James Yahaiband