LABUAN: Labuan pada Selasa selesai memvaksinasi penuh 80 peratus populasi dewasa, menjadikan pulau bebas cukai itu Wilayah Persekutuan dan negeri pertama di Malaysia mencapai imuniti kelompok bagi membendung penularan Covid-19.
Memetik laporan Bernama, Wilayah Persekutuan itu telah memberi suntikan vaksin kepada 54,800 daripada 68,500 penduduk dewasa yang disenaraikan sebagai layak untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Labuan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Labuan menyifatkan program itu sebagai tugas yang sukar tetapi mengakui kerjasama berpasukan yang hebat telah membuahkan kejayaan.
Pengerusi CITF Labuan Rithuan Ismail berkata sebanyak 54,800 (80 peratus) daripada jumlah populasi yang layak untuk divaksin, telah menerima dua dos vaksin.
“Kami gembira dapat mencapai imuniti kelompok tiga hari lebih awal daripada tarikh sasaran iaitu 30 Julai.
“Pencapaian itu adalah kejayaan penduduk di pulau ini yang peka terhadap kepentingan vaksinasi Covid-19, serta kerja berpasukan daripada pasukan petugas khas dan masyarakat sebagai sukarelawan yang dinamakan Privo Team (Prihatin Volunteers).