Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Terdapat tiga kluster di Sabah hari ini, semuanya di Keningau.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kluster pertama dinamakan Kluster Bayangan – Keningau melibatkan penularan Covid-19 dalam komuniti di Mukim Bingkor dan Luagan yang disyaki berpunca daripada perkumpulan keluarga dari luar daerah.
Katanya, kes indeks merupakan lelaki, 38, dikesan melalui saringan bergejala di Hospital Keningau dengan keputusan ujian RTK-Ag positif grading 20% pada 25 Julai 2021.
Saringan kontak rapat bagi tempoh 25 hingga 27 Julai 2021 menunjukkan pertambahan bilangan kes positif dalam kalangan ahli keluarga dan kontak rapat kes indeks.
“Setakat hari ini, kluster ini merekodkan jumlah kumulatif 21 kes positif termasuk tujuh (7) kes baharu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah berkata, yang kedua dipanggil Kluster Bariawa Laut – Keningau yang mula dikesan apabila kes indeks, wanita, 36, disahkan positif COVID-19 (RTK-Ag grading 100%) melalui saringan bergejala pada 25 Julai 2021.
Jelasnya, saringan kontak mengesan 13 kes termasuk lima kes baharu melibatkan kontak rapat dan kontak sosial daripada Mukim Patikang dan Kali di Daerah Keningau.
Punca yang disyaki bagi penularan Kluster Bariawa Laut adalah perkumpulan keluarga, tambahnya.
Kluster Menawo Baitah – Keningau pula dikategorikan sebagai kluster komuniti dan tempat kerja.
“Kluster ini juga menular di Mukim Seberang, Lingkudau dan Luagan di Daerah Keningau serta Daerah Tambunan yang disyaki berpunca daripada pergaulan sesama keluarga yang akhirnya tersebar kepada rakan-rakan.
“Kes indeks merupakan lelaki, 27, dikesan positif Covid-19 (RTK-Ag grading 100%) hasil saringan tempat kerja di sebuah klinik swasta di Keningau pada 26 Julai 2021.
“Saringan kontak mendapati pertambahan bilangan kes positif dalam kalangan ahli keluarga dan kontak rapat di tempat kerja. Setakat hari ini, jumlah kumulatif kes positif kluster ini ialah sebanyak 16 kes termasuk 15 kes baharu,” katanya.
Pada hari ini, Sabah mencatatkan jumlah kes positif Covid-19 yang amat tinggi iaitu 913 kes, dengan peningkatan sebanyak 172 kes berbanding 741 kes yang dicatatkan semalam (27 Julai 2021).
Katanya, sembilan kes kematian juga dicatatkan pada hari ini iaitu Kota Kinabalu dan Sipitang mencatatkan tiga kes bagi setiap daerah manakala Kudat, Penampang dan Papar masing-masing mencatatkan satu kes.
“Kota Kinabalu sahaja mencatatkan 234 kes baharu termasuk 27 kes adalah daripada Penjara Kepayan, diikuti oleh Daerah Penampang dengan 101 kes, Tawau 73 kes, Beaufort 70 kes, Kalabakan 61 kes dan Tuaran 56 kes.
“Semua daerah di Sabah pada hari ini mencatatkan kes baharu,” katanya.
Beliau menjelaskan lebih separuh kumulatif kes harian 500 kes atau 54.82% daripada kes hari ini berpunca dari saringan kontak rapat di mana 138 kes daripadanya dikesan di daerah Kota Kinabalu.
Katanya, Kluster sedia ada pula menambah 162 kes atau 17.8% manakala saringan bergejala merekodkan 121 kes.
“Sejumlah 77.9% daripada kes-kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2. Kategori 1, iaitu 321 kes adalah mereka yang tidak mengalami sebarang simptom dan Kategori 2 iaitu sebanyak 389 kes sekadar mengalami simptom ringan,” katanya.
Katanya, kedua kategori pesakit ini tidak perlu dimasukkan di hospital untuk rawatan, sekadar ditempatkan di PKRC.
Menurutnya, seluruh daerah di Negeri Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif COVID19 yang terus meningkat dan dengan jumlah catatan sebanyak 500 kes daripada Saringan Kontak Rapat.
“Dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak Kerajaan,” tambahnya lagi.