Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Kluster tempat kerja terus mendominasi dengan tiga dilaporkan hari ini, satu kluster komuniti.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ketiga kluster tempat kerja tersebut termasuk Kluster Jalan Penampang – Penampang yang melibatkan pekerja-pekerja di sebuah pasaraya besar di Jalan Penampang, Pekan Koidupan.
Katanya, kes indeks merupakan juruwang wanita, 25, yang disahkan positif Covid-19 pada 26 Julai 2021 melalui saringan bergejala dengan keputusan RTK-Ag grading 29%.
Saringan kontak rapat mendapati 28 lagi kes positif masing-masing 10 kes dan 18 kes pada 27 Julai dan 26 Julai 2021 dalam kalangan rakan sekerja dan keluarga, jelasnya.
“Pertambahan angka tersebut menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster jenis tempat kerja ini ialah sebanyak 29 kes. Aktiviti pengesanan kontak rapat dan siasatan lanjut masih giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, Kluster Industri Kolombong – Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran pula melibatkan gudang minyak masak di Kolombong.
“Kes indeks bagi kluster ini adalah pembantu pemandu, lelaki, 26, yang mula bergejala sejak 17 Julai 2021, sebelum disahkan positif Covid-19 dengan keputusan PCR dengan bacaan CT Value 24.7 di Klinik Kesihatan Penampang pada 19 Julai 2021.
“Kes indeks juga telah dimasukkan ke PKRC untuk rawatan lanjut. Hasil saringan kontak, kluster ini merekodkan 23 kes positif secara kumulatif dengan mendaftarkan kes dengan kaitan epidemiologi di daerah lain.
“Bagi Kota Kinabalu lapan kes didaftarkan termasuk satu kes baharu hari ini, sementara Penampang 12 kes dan Tuaran dengan tiga kes. Siasatan lanjut untuk pengesanan kontak-kontak rapat sedang giat dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.
Sementara yang ketiga iaitu Kluster Jeti Kudat – Kudat yang merebak di tempat kerja pada hari ini menokok 11 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 44 kes.
“Kluster ini mula dikesan melalui saringan bergejala terhadap kes indeks, wanita, 51, peniaga bukan warganegara di Jeti Kudat disahkan positif Covid-19 dengan keputusan PCR dengan CT Value 22.66 di Hospital Kudat pada 15 Julai 2021.
“Berikutan pertambahan bilangan kes positif di Jeti Kudat, Pejabat Kesihatan Kawasan Kudat melakukan saringan bersasar ke atas semua individu yang terlibat dengan aktiviti perniagaan dan perusahaan ikan di daerah Kudat bermula 21 hingga 26 Julai 2021.
“Sebanyak 237 sampel saringan bersasar diambil dalam tempoh berkenaan. Aktiviti pengesanan kontak rapat, disinfeksi dan kawalan penyebaran penyakit masih giat dijalankan,” katanya.
Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah berkata, hanya satu kluster komuniti hari ini iaitu Kluster Inderasabah – Tawau berlaku di Mukim Balung , Daerah Tawau.
Menurutnya, kes indeks adalah pekebun sawit, lelaki, 30, telah disahkan positif (RTK-Ag grading 80%) pada 24 Julai 2021, selepas bergejala sejak 14 Julai 2021.
“Kes indeks yang bekerja sendiri tinggal di Kg Darat, Inderasabah bersama dengan 13 ahli keluarga. Selain saringan kontak rapat, saringan kontak sosial juga dilakukan terhadap tiga kontak di Blok C, PPR Taman Sri Apas dan mendapati dua daripadanya adalah positif.
“Setakat ini, 17 kontak telah disaring dan 14 daripadanya didapati positif termasuk 11 kes baharu. Siasatan lanjut untuk pengesanan kontak-kontak rapat sedang giat dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan,” jelasnya.
Keempat-empat kluster ini menyumbang sebanyak 41 kes hari ini.
Secara keseluruhannya, Sabah mrekodkan
741 kes dengan tiga kes kematian dilaporkan iaitu di Putatan, Penampang dan Kudat masing-masing mencatatkan satu kes.
Masidi berkata, kes Covid-19 di negeri mengalami peningkatan sebanyak 21 kes berbanding 720 kes yang dicatatkan semalam (26 Julai 2021).
“Sebanyak 379 kes atau 51.15% penyumbang utama jumlah kes hari ini adalah dari saringan konrak rapat, diikuti tambahan kes dari saringan kluster sedia ada dengan 101 kes atau 13.6 %.
“Saringan bergejala sebanyak 129 kes atau 17.41% dari kumulatif kes harian Negeri Sabah. Manakala saringan bersasar merekodkan 53 kes atau 7.15%,” katanya.
“Seluruh daerah di negeri ini mencatatkan perubahan angka kes positif COVID19 yang terus meningkat dan dengan jumlah catatan sebanyak 379 kes daripada saringan kontak rapat.
“Dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak Kerajaan,” katanya.