KOTA KINABALU: Hampir 20 doktor mengadakan tunjuk perasaan secara aman bagi menyokong pergerakan ‘Hartal Doktor Kontrak’ di dua hospital, di sini, pada Isnin.
Kira-kira 15 doktor kontrak berdiri dengan senyap di dalam premis Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas, sebelum berjalan keluar ke pekarangannya.
Dua lagi pegawai perubatan melakukan “walkout” di Hospital Queen Elizabeth (HQE) 1, beberapa minit sebelum tengah hari.
Mogok doktor kontrak ini dirancang untuk diadakan bermula jam 11 pagi di hospital-hospital di seluruh negara bagi mendorong pembaharuan sistem, yang mereka dakwa, membantut perkembangan kerjaya mereka dan tidak memberikan jaminan pekerjaan.

Pemberita menunggu selama lebih sejam di HQE 1 sebelum melihat dua penunjuk perasaan berjalan ke arah mereka.
Mereka membawa pelekat yang menyatakan “We are your future specialists” (Kami adalah pakar masa depan anda) dan “#hkontrak” sementara mereka berjalan keluar dari bangunan hospital itu menuju ke tempat letak kereta.
Apabila ditanya oleh wartawan, mereka enggan mengulas apa-apa, dan hanya mendedahkan bahawa mereka adalah pegawai perubatan di samping mengucapkan terima kasih kepada penyokong mereka.
Ahad lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah membuat rayuan kepada doktor kontrak dan pekerja kesihatan supaya tidak menyertai mogok pada Isnin.
Dalam satu hantaran Facebook, beliau mengingatkan mereka bahawa banyak nyawa dipertaruhkan, sambil menggesa mereka mengingati ikraf yang mereka lafazkan apabila mengambil profesion itu, “primum non nocere” – pertama, jangan membahayakan atau berlaku tidak adil kepada pesakit.
Beliau juga berkata doktor adalah benteng terakhir “bagi mengubah nasib pesakit kita, dan setiap nyawa penting.”
Jurucakap Hartal Doktor Kontrak Dr Umar Baraka sebelum ini memberi jaminan bahawa mogok itu akan diadakan selepas doktor kontrak selesai dan menyerahkan tugas mereka kepada doktor tetap, tanpa menjejaskan penjagaan pesakit.
Pada 23 Julai, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memberi pegawai perubatan, doktor gigi dan ahli farmasi kontrak, peluang kerjaya sama rata dengan pegawai perubatan tetap.
Muhyiddin juga mengumumkan bahawa Kabinet telah memutuskan untuk memberikan faedah lain kepada pegawai kontrak seperti cuti belajar berbayar sepenuhnya, tetapi tidak menjawab tuntutan kumpulan itu untuk pelantikan tetap bagi semua pekerja kontrak kerajaan ketika ini.
Kerajaan, sebagai respons kepada tuntutan kumpulan itu, menawarkan untuk melanjutkan kontrak mereka kepada minimum empat tahun. – DE