Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Seluruh daerah di negeri ini mencatatkan perubahan angka kes positif Covid-19 yang terus meningkat, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun.
Katanya, ini dan dengan jumlah catatan sebanyak 331 kes daripada saringan kontak rapat, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan.
Ini walaupun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak Kerajaan, tambahnya lagi.
Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah berkata, kes positif Covid-19 Sabah pada hari ini masih tinggi iaitu 720 kes, walaupun menurun daripada 818 kes semalam.
“Sebanyak 331 kes atau 45.97% penyumbang utama jumlah kes hari ini adalah dari saringan kontak rapat, diikuti tambahan kes dari kluster sedia ada dengan 226 kes atau 31.39% dan sarongan bergejala sebanyak 103 kes atau 14.31% dari kumulatif kes harian negeri ini.
“Bagaimanapun, tiada kluster baharu dicatatkan pada hari ini,”‘ katanya pada kenyataan media di sini hari ini.
Katanya, untuk saringan kluster, Kluster Agathis adalah penyumbang tertinggi iaitu sebanyak 112 kes daripada keseluruhan 226 kes yang berpunca daripada saringan kluster.
Menurutnya, bagi saringan kontak rapat pula, Kota Kinabalu menyumbang kes tertinggi dengan 69 kes daripada kumulatif kes yang berpunca daripada Saringan Kontak Rapat iaitu 331 kes.
Sejumlah 83.6% daripada kes-kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2. Kategori 1, iaitu 255 kes adalah mereka yang tidak mengalami sebarang simptom dan Kategori 2 iaitu sebanyak 347 kes sekadar mengalami simptom ringan.
Katanya, kedua kategori pesakit ini tidak perlu dimasukkan di hospital untuk rawatan, sekadar ditempatkan di PKRC.