Muhyiddin Yassin.
KUALA LUMPUR: Sidang Khas Dewan Rakyat yang bermula pukul 10 pagi ini akan dimulakan dengan pembentangan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ia akan dibentangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Laporan Utusan Malaysia – Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, persidangan selama lima hari itu akan menyaksikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba memberi penerangan mengenai tindakan menangani pandemik Covid-19.
Selepas itu, dijadualkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan menerangkan berkenaan program vaksinasi.
Pada akhir mesyuarat pula, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadual menerangkan mengenai pakej-pakej bantuan ekonomi manakala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Menteri Pertahanan dijadual memberi penerangan mengenai pelaksanaan darurat.
Sebanyak 12 dokumen merangkumi tiga Proklamasi Darurat dan sembilan Ordinan Darurat akan dibawa ke dalam mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.