Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangkakan kebanyakan negeri dapat beralih ke Fasa Keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN) seawal bulan Oktober nanti, berikutan usaha berterusan untuk menggerakkan proses pemulihan dan program imunisasi yang sedang berjalan lancar.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, Kerajaan sudah memutuskan di Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), bagi negeri yang sudah berada di Fasa Kedua, ia tidak akan kembali ke Fasa Pertama.
“Begitu juga dengan negeri yang beralih ke Fasa Ketiga tidak akan patah balik ke Fasa Kedua. Ini kerana, pendekatan PPN menekankan dengan izin, exit strategy and no turning back.
“Walau bagaimanapun, manusia merancang, tetapi perancangan Allah jualah sebaik-baiknya. Saya ingin memaklumkan, sekiranya berlakulah semula peningkatan kes di negeri tersebut, Kerajaan akan mengetatkan kawalan pergerakan berdasarkan lokaliti tanpa perlu membuat perintah kawalan menyeluruh ke atas negeri atau wilayah sepertimana yang dilaksanakan kini,” jelasnya.
Secara keseluruhan, katanya, PPN ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan untuk memberi tumpuan kepada pembukaan semula ekonomi dan aktiviti sosial secara teratur dan berperingkat.
“Kesinambungan PPN dan langkah-langkah pemulihan ekonomi lain akan diperincikan semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) dan Bajet 2022.
“Insha-Allah, RMKe-12 dijangka akan dibentangkan di Dewan yang mulia ini pada 20 September dan Bajet 2022 pada 29 Oktober nant.i
“Dari semasa ke semasa, Kerajaan akan terus memantau keadaan di setiap negeri dengan rapi termasuk mengambil langkah intervensi mengikut keperluan. Di samping itu, Kerajaan akan tetap melaksanakan penilaian risiko termasuk menilai kesediaan mana-mana negeri untuk beralih ke Fasa Kedua, Ketiga atau Keempat.,” katanya semasa berucap di Sidang Khas Parlimen di sini hari ini.
Pada 15 Jun yang lalu, Perdana Menteri telah mengumumkan mengenai pelaksanaan PPN sebagai sebuah roadmap dan strategi peralihan keluar dari krisis Covid-19 secara berfasa. Peralihan ini merangkumi empat fasa di mana peralihan sesebuah negeri dari satu fasa ke fasa yang selanjutnya melibatkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial secara beransur.
“Peralihan ke suatu fasa tidak mengikut jadual masa, tetapi berlandaskan pencapaian kita bersama untuk mengurangkan kadar penularan Covid-19, mengurangkan tekanan kapasiti sistem kesihatan serta meningkatkan tahap perlindungan rakyat menerusi suntikan vaksin.
“Pelan pemulihan seperti ini turut dilaksanakan oleh banyak negara antaranya United Kingdom, Australia dan Singapura. Kita belajar, meneliti dan mengambil amalan terbaik dari negara-negara tersebut supaya acuan Pelan PPN ini dapat dijadikan panduan penting dan sebagai asas kepada proses pemulihan negara,” jelas Muhyiddin.
Beliau menambah, PPN dirangka berdasarkan lima ciri utama iaitu pertamanya, ia mengimbangi keperluan melindungi nyawa dan kehidupan, iaitu sebuah pelan yang melihat ke hadapan atau dengan izin forward-looking bagi memastikan keselamatan nyawa, kesejahteraan ekonomi dan kelangsungan hidup rakyat diambil kira.
“Prinsip ini juga memenuhi tuntutan agama di bawah maqasid shariah iaitu kaedah hifzu al-nafs atau memelihara nyawa dan hifzu al-mal atau melindungi harta dan ekonomi,” katanya.
Keduanya, ia bersifat dinamik dan penyesuaian berterusan, iaitu sebuah pelan yang sentiasa dikemas kini, relevan serta berlandaskan sains dan data dalam menghadapi situasi yang tidak menentu bagi memastikan kesiapsiagaan negara sewaktu tempoh peralihan fasa.
Pelan PPN akan disokong dengan fakta-fakta sains, penilaian indikator dan bukti empirikal, dan tidak sekadar andaian semata-mata;
Ketiga, ia memberi penjelasan dan penerangan sebagai panduan bagi memperincikan perancangan, serta menekankan aspek ketelusan ke atas setiap perkara dalam membina semula kepercayaan, dan keempat, ia mengguna pakai pendekatan whole of nation (keseluruhan negara) iaitu sebuah pelan yang melibatkan peranan segenap lapisan masyarakat.
“Kejayaan PPN bergantung kepada pendekatan ‘keseluruhan negara’ dan kerjasama erat sama ada di pihak kerajaan pusat, kerajaan negeri, parti politik, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta, NGO dan rakyat. Semuanya perlu memainkan peranan dalam usaha memulihkan negara,” jelasnya.
Kelima, ia membuat pemantauan dan memastikan keberkesanan prestasi, iaitu sebuah pelan yang menilai keberkesanan pelaksanaan melalui pelaporan dan strategi komunikasi yang berkesan.
Ringkasnya, kata Muhyiddin, PPN adalah sebuah pelan pemulihan yang menumpukan kepada strategi untuk keluar dari ancaman Covid-19 secara selamat dan sistematik.
“Fasa-fasa yang digariskan adalah tertumpu kepada usaha untuk meringankan beban ke atas kapasiti sistem kesihatan awam, membuka semula sektor ekonomi, dan membenarkan aktiviti sosial dalam tempoh masa enam bulan sehingga akhir tahun ini.
“PPN tidaklah statik tetapi dinamik, komprehensif dan boleh ditambah baik mengikut keperluan dan situasi semasa,” katanya.
Muhyiddin berkata PPN merupakan pelan hala tuju berfasa untuk menyokong peralihan keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak hanya bergantung kepada pelaksanaan PKP secara menyeluruh.
Sebaliknya, tambahnya, Kerajaan akan melaksanakan strategi yang lebih holistik merangkumi program imunisasi serta pelaksanaan saring, jejak dan asing atau dengan izin, test, trace and isolate dengan skala besar serta kadar yang lebih pantas.
Katanya, PPN akan menumpukan kepada lima objektif utama, iaitu melindungi sektor kesihatan awam dengan mengurus penularan wabak, mengurangkan kemasukan ke hospital dan meminumkan kadar kematian; memastikan sistem kesihatan yang mampan; melaksanakan vaksinasi secepat mungkin bagi melindungi rakyat; membuka semula ekonomi dan membenarkan aktiviti sosial secara berperingkat dengan kepatuhan SOP yang ketat; dan responsif dan fleksibel dalam mengadaptasi evolusi persekitaran.
“Sebagai hala tuju ke arah membuka semula sektor ekonomi, PPN menggariskan empat fasa peralihan merangkumi perincian SOP untuk setiap fasa. Peralihan fasa bagi sesebuah negeri akan dinilai dan dipertimbangkan berdasarkan tiga indikator nilai ambang yang saya telah jelaskan tadi, iaitu purata bilangan kes harian, kadar penggunaan katil di wad ICU dan peratusan rakyat dewasa yang lengkap divaksinasi.
“Bagi Fasa Pertama PPN, ia melibatkan PKP secara menyeluruh iaitu aktiviti sosial tidak dibenarkan sama sekali dan aktiviti ekonomi pula hanya dibenarkan beroperasi terhad kepada senarai positif perkhidmatan perlu seperti kedai runcit, pengilang barangan kesihatan, perkhidmatan utiliti dan lain-lain. Kapasiti bekerja secara fizikal pula dihadkan kepada 60 peratus sahaja.
“Untuk beralih daripada Fasa Pertama ke Fasa Kedua, sesebuah negeri itu hendaklah memenuhi ketiga-tiga nilai ambang iaitu mengurangkan kadar kes harian ke bawah angka 12.2 kes bagi setiap 100,000 penduduk, menstabilkan kadar penggunaan katil di wad ICU ke tahap sederhana dan memberi dos vaksin yang lengkap kepada lebih 10 peratus daripada penduduk dewasanya.
“Alhamdulillah, sehingga kini, lapan buah negeri iaitu Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak sudah beralih ke Fasa Kedua,” katanya.
Fasa Kedua PPN pula umumnya masih melibatkan pelaksanaan PKP yang ketat iaitu aktiviti sosial masih dihadkan dengan aktiviti ekonomi dibuka secara beransur-ansur dengan menambah bilangan sektor dalam senarai positif.
Antaranya termasuklah sektor pembuatan automotif dan barangan besi, kedai barangan elektrik dan gunting rambut serta lain-lain lagi, jelasnya, sambil menambah kapasiti bekerja secara fizikal pula ditingkatkan kepada 80 peratus kehadiran di tempat kerja.
Kelonggaran juga diperkenalkan bagi membenarkan beberapa aktiviti sukan dan riadah di kawasan terbuka, katanya.
Fasa Ketiga PPN pula melibatkan pembukaan aktiviti sosial dan ekonomi yang lebih luas selaras dengan lebih daripada 40 peratus penduduk negeri yang berkenaan menerima dos lengkap vaksin.
“Semua aktiviti ekonomi akan dibenarkan beroperasi kecuali bagi senarai negatif, iaitu sektor-sektor berisiko jangkitan yang tinggi seperti spa dan kelab malam. Kapasiti bekerja secara fizikal masih dikekalkan pada kadar 80 peratus kehadiran di tempat kerja,” ujarnya.
Fasa Keempat merupakan fasa terakhir, katanya, sambil menambah selaras dengan kadar vaksinasi negara pada tahap 80 peratus penduduk dewasa, aktiviti-aktiviti sosial dan ekonomi akan dibenarkan beroperasi dalam suasana norma baharu.
“Aktiviti pelancongan domestik, persembahan dengan penonton serta aktiviti sukan berkumpulan misalnya sudah boleh kembali dijalankan,” katanya.