Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR: Kerajaan setakat ini telah menempah 79.9 juta dos vaksin dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 25.2 juta dos telah diterima.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kerajaan akan menerima jumlah keseluruhan 37.3 juta dos pada bulan Ogos sementara sebanyak 21.9 juta dos lagi akan diterima pada suku ke empat 2021 dan baki selebihnya akan diterima pada suku pertama 2022.
“Mengikut perancangan asal, dijangkakan 80 peratus penduduk dewasa di Malaysia akan menerima dos lengkap vaksin menjelang suku pertama 2022.
Insha-Allah, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan terus diperhebat supaya sasaran 100 peratus penduduk dewasa menerima dos lengkap vaksin dapat dicapai lebih awal, iaitu pada bulan Oktober tahun ini.
“Malah ketika ini, Kerajaan telah mencapai kapasiti kadar suntikan sebanyak lebih 500 ribu dos sehari,” katanya semasa berucap di Parlimen hari ini, sambil menambah hakikatnya, satu-satunya kaedah yang paling berkesan untuk negara segera keluar daripada kemelut ini ialah dengan mempertingkatkan kapasiti pemberian vaksin kepada rakyat.
Muhyiddin berkata melalui Pelan PPN, Kerajaan akan memastikan proses vaksinasi dijalankan dengan teratur, cepat dan meliputi seluruh pelusuk negara.
“Kita juga berharap penularan Covid-19 ini tidak berterusan menjadi pandemik dan dapat beransur menjadi endemik, iaitu keadaan di mana virus ini mungkin terus wujud, namun wabak ini boleh dikawal melalui adaptasi norma baharu, sistem kesihatan awam yang berkesan dan amalan kesihatan serta pematuhan SOP yang ketat,” katanya.
Katanya, Kerajaan juga sedar, peningkatan kes yang berlaku kini disebabkan sebahagian besarnya oleh penularan di tiga buah negeri di jajaran Lembah Kelang iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan sebahagian Negeri Sembilan.
“Ia menyumbang lebih 70 peratus daripada keseluruhan kes jangkitan harian. Melalui penubuhan, dengan izin, Greater Klang Valley Special Task Force, Kerajaan Pusat akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri yang berkenaan untuk memastikan penularan virus ini dapat dikawal dan yang paling utama hospital-hospital mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk berfungsi dengan berkesan.
“Selain itu, di bawah Operasi Lonjakan Kapasiti atau dengan izin Operation Surge Capacity, dijangkakan 100 peratus penduduk dewasa di negeri Selangor dan Kuala Lumpur yang berjumlah 6.1 juta orang akan menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin COVID-19 menjelang awal bulan Ogos nanti.
“Alhamdulillah, setakat ini melalui pelaksanaan PICK, lebih 16 juta dos telah berjaya dibekalkan kepada rakyat Malaysia iaitu merangkumi 11 juta orang telah menerima dos pertama dan lima juta orang telah menerima dua dos lengkap suntikan vaksin. Kadar vaksinasi harian juga telah melebihi 500 ribu dos sehari,” katanya.
Muhyiddin menjelaskan, fokus utama Pelan Pemulihan Negara (PPN) juga turut melibatkan usaha meningkatkan kemampuan sistem kesihatan awam dalam memerangi Covid-19.
“Merujuk kepada data global, purata kadar kematian berpunca dari jangkitan Covid-19 adalah sebanyak 2.2 peratus daripada keseluruhan kes manakala kadar bagi Malaysia ialah sebanyak 0.7 peratus.
“Berdasarkan laporan Ketua Pengarah Kesihatan, didapati lebih 98 peratus daripada pesakit COVID-19 di negara kita tidak bergejala atau hanya bergejala ringan. Dengan itu, kadar pemulihan di negara kita pada masa ini agak tinggi iaitu sebanyak 87 peratus.
“Melihat kepada ancaman Covid-19 terhadap kesihatan rakyat, kerjasama seluruh anggota masyarakat dan Kerajaan perlu digembleng bagi mengawal pandemik ini.,” tegasnya.
Katanya, langkah-langkah yang diambil mestilah berpandukan kepada tiga paksi utama iaitu memutuskan rantaian penularan wabak melalui pemerkasaan ujian saringan, pengesanan kontak dan langkah pengasingan; mengurangkan kadar morbiditi dan kematian melalui peningkatan kapasiti sistem penjagaan kesihatan termasuk mengoptimakan kapasiti hospital pengajar universiti, kapasiti di bawah Kementerian Pertahanan dan juga melalui penyumberan luar ke hospital swasta; dan melindungi kesihatan rakyat secara keseluruhan dengan menyediakan sokongan yang mencukupi bagi keperluan selain Covid-19.