Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Tiga daripada enam kluster baharu hari ini tercetus di tempat kerja di sini, Ranau dan Kinabatangan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata yang pertama ialah Kluster Gipan Kolombong melibatkan penularan jangkitan tempat kerja iaitu di sebuah premis membancuh simen di Kota Kinabalu.
Katanya, kes indeks merupakan pengawal keselamatan, lelaki, 28, dari Kampung Cenderakasih, Inanam Metrotown dan mula bergejala sejak 19 Julai 2021.
“Kes indeks disahkan positif (RTK-Ag grading 100%) di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu pada 21 Julai 2021 dan telah dimasukkan ke PKRC untuk rawatan lanjut. Daripada 67 sampel yang diambil di Kota Kinabalu, 37 sampel dikesan positif termasuk 27 kes baharu pada hari ini.
“Sementara itu, 28 sampel didapati negatif dan dua masih menunggu keputusan ujian saringan. Kluster ini turut merekodkan tiga lagi kes dengan kaitan epidemiologi dan didaftarkan di daerah Tuaran.
“Setakat hari ini, 27 kes baharu dikesan menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 40 kes,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sementara Kluster Simpang Tiga – Ranau dikategorikan sebagai kluster golongan berisiko tinggi dan merebak di sebuah pusat perubatan di daerah Ranau.
Masidi berkata, kes indeks merupakan staf kesihatan di jabatan kecemasan pusat terbabit, lelaki, 29, yang disahkan positif Covid-19 hasil saringan bergejala pada 18 Julai 2021.
“Daripada 417 kontak rapat yang disaring, 14 kes positif Covid-19 dikesan termasuk tiga kes baharu hari ini. Jumlah itu merangkumi lapan kes di tempat kerja iaitu petugas kesihatan, sementara enam kes lagi merupakan kontak serumah masing-masing tiga kes di Kg. Lembah Permai dan Kg. Sokid Bundu Tuhan.
“Punca jangkitan dan penularan wabak masih dalam siasatan,” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah.
Kluster ketiga melibatkan tempat kerja hari ini dipanggil Kluster Tinabau – Kinabatangan yang merebak di sebuah ladang kelapa sawit.
“Kes indeks merupakan penyelia pekerja ladang, lelaki, 49, dan telah dirujuk ke Hospital Kinabatangan, selepas disahkan positif (RTK-Ag grading 60%) melalui saringan tempat kerja di Klinik Swasta Permai, Kinabatangan pada 19 Julai 2021,” kata Masidi.
Aktiviti saringan kontak seterusnya mendapati, 25 lagi positif Covid-19 dalam kalangan keluarga, pekerja dan tanggungan. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif setakat hari ini sebanyak 26 kes, termasuk 17 kes baharu.
Katanya, aktiviti siasatan, persampelan Covid-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang berdekatan yang lain.
Satu daripada kluster komuniti dipanggil Kluster Jalan Tungku – Lahad Datu adalah kluster komuniti.
Masidi berkata, kes indeks merupakan wanita, 30, yang disahkan positif Covid-19 ketika menjalani saringan bergejala di Klinik Kesihatan Tungku pada 28 Jun 2021.
Pengesanan secara aktif dan saringan terhadap kontak rapat mendapati 12 lagi kes positif.
“Daripada 233 sampel yang disaring, 35 sampel disahkan positif , 196 sampel didapati negatif saringan pertama manakala dua sampel masih menunggu keputusan. Setakat hari ini, empat kes baharu dikesan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 35 kes positif Covid-19,” ujarnya.
Seterusnya, Kluster Kg Sogo-Sogo – Tongod merupakan penularan Covid-19 dalam kalangan komuniti yang mula dikesan apabila kes indeks, lelaki, 32, disahkan positif (RTK-Ag grading 100%) di Klinik Kesihatan Tongod pada 23 Julai 2021, selepas bergejala sejak 18 Julai 2021.
Menurut Masidi, kes indeks telah dimasukkan ke PKRC Sandakan untuk rawatan lanjut.
“Daripada 46 sampel yang diambil daripada kontak rapat, lapan kes baharu dilaporkan pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak sembilan kes.
“Aktiviti siasatan, persampelan Covid-19 dan disinfeksi masih diteruskan oleh pasukan siasatan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada penduduk kampung yang berdekatan,” katanya.
Kluster keagamaan pula iaitu Kluster Gerbang Kauran – Keningau berlaku di Mukim Lingkudau dalam Daerah Keningau.
Masidi menjelaskan penularan Covid-19 disyaki berpunca daripada pergaulan dalam kalangan ahli jawatankuasa masjid serta ahli keluarga.
“Kes indeks adalah wanita, 47, disahkan positif RTK-Ag melalui saringan bergejala di HospitalKeningau pada 21 Julai 2021.
“Setakat hari ini, kluster ini merekodkan sembilan kes termasuk dua kes baharu,” katanya.
Dua kematian juga dilaporkan masing masing di Tawau dan Papar hari ini.